Ahad, 3 Julai 2011

Selangor lulus RM9.7 juta baik pulih rumah rakyat

Ismail Hashim


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sejumlah wang sebanyak RM9.7 juta untuk tujuan membantu baikpulih kediaman rakyat bagi memenuhi tuntutan Negeri Berkebajikan.

Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan diwujudkan khusus untuk membaikpulih kerosakan harta bersama di pangsapuri kos rendah seperti lif, bumbung, tangki air dan pembentung.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Ir Iskandar Abdul Samad, dari jumlah itu, sebanyak RM2 juta telah dikeluarkan kepada 18 projek perintis.

Jelasnya, baki RM7.7 juta lagi akan diagihkan kepada lebih 60 pangsapuri lagi mengikut keutamaan dan kelayakan.

Majlis Taklimat Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan Negeri Selangor diadakan di Bangunan Annex hari ini dengan kehadiran pihak pengurusan pangsapuri seluruh negeri.

Turut berucap adalah Ketua Pengarah Eksekutof Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Datin Paduka Alinah Ahmad dan Pegawai Kanan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP).

Di dalam ucapannya, Iskandar yang juga Adun PAS – Chempaka berkata, konsep Negeri Berkebajikan adalah berbeza dengan Welfare State.

Ini kerana, jelasnya, Negeri Berkebajikan memberikan joran kepada rakyat untuk berusaha dan bukannya memberikan ikan seperti amalan Welfare State.

Katanya, kaedah yang digunakan bagi pelaksanaan skim bantuan ini adalah berasaskan konsep perkongsian kos antara Kerajaan Negeri 80 peratus dan Pengurusan Bangunan 20 peratus.

“Objektif utama skim ini adalah untuk mendukung dasar Negeri Berkebajikan dan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) malah dengan skim ini dapat memperhebatkan lagi MES yang berfalsafahkan Hasil Negeri Untuk Rakyat.

“Skim ini akan dapat memangkin pembangunan komuniti miskin bandar dengan baikpulih fizikal di kawasan pangsapuri kos rendah ini turut menyumbang kepada pembangunan sosial lebih berkualiti dan berdaya maju.

“Selain itu, skim ini juga berusaha memastikan keselamatan dan menghindarkan rakyat daripada dibelenggu kesulitan lif dan bumbung,” tegasnya.

Skim ini, jelasnya, berupaya membina masyarakat yang mempunyai keprihatinan sosial dan persekitaran tempat kediaman dengan memobilasi mereka agar bekerjasama dalam banyak perkara termasuk mengumpul dana.

Iskandar berkata, sebanyak 69 kawasan pangsapuri telah ditawarkan skim ini, 31 permohonan diterima setakat 15 Jun 2011 dan 18 pangsapuri kos rendah telah diputuskan pada 20 Jun lalu untuk menerima skim perintis ini.

Tiada ulasan: