Rabu, 13 Julai 2011

Tahniah Unit Amal, peserta Bersih 2.0

Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 12 Julai: Unit Amal dan para peserta himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di ibu negara wajar diberikan ucapan tahniahkerana berkemampuan berhadapan dengan pihak keselamatan.

Halangan kerajaan BN untuk Bersih 2.0 menggunakan Stadium Merdeka jelas merupakan tindakan jahat kerajaan BN dan sekali gus menunjukkan kepimpinan BN tidak mengikuti sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan (gambar) berkata, tindakan kasar dan zalim yang digunakan oleh pihak polis yang menerima arahan dari kerajaan BN bagi menangani para peserta himpunan itu menunjukkan imej sebenar kerajaan BN terhadap rakyat sejak sekian lama.

Menurut beliau, tindakan itu juga jelas menunjukkan kerajaan BN kini sudah berada di penghujungan kerana majoriti rakyat sudah tidak lagi mampu bertahan di bawah pemerintahan kerajaan BN yang zalim.

Katanya, dengan tindakan itu, rakyat sendiri boleh melihat dengan jelas Umno BN mengkhianati Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Sebagai payung negara, Yang di-Pertuan Agong telah bertindak begitu lunak terhadap rakyat dengan memberikan keizinan kepada Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka.

"Namun, Umno BN dengan kejahatannya telah menghalang Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka sehingga menyebabkan rakyat terpaksa mengadakan perhimpunan di jalanan," katanya ketika ditemui di sini.

Tindakan jahat Umno BN itu, menurut beliau, jelas menunjukkan Umno atau kerajaan BN telah mengkhianati Yang di-Pertuan Agong.

"Ini berbeza sama sekali dengan sikap para pemimpin dan penyokong-penyokong Bersih dan Pakatan Rakyat yang sentiasa menghormati Yang di-Pertuan Agong. Daulat Tuanku! Patik rakyat jelata bersama Tuanku!" katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Besut, Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, para peserta himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sememangnya layak diberikan ucapan tahniah kerana berani bangkit untuk melakukan perubahan terhadap politik di negara kita.

"Gelombang kebangkitan rakyat sememangnya tidak boleh dihalang. Kerajaan BN harus sedar, rakyat tidak boleh dihalang untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

"8 tuntutan Bersih 2.0 adalah satu kehendak majoriti rakyat yang mahu melihat pimpinan yang menerajui negara berasaskan merit, bukan kekuatan palsu yang terbina dari sistem yang tidak telus," katanya ketika ditemui di sini.

Tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas para pemimpin dan peserta-peserta perhimpunan itu yang mewakili pelbagai pertubuhan, menurutnya, akan menjadi mukaddimah kepada suatu kebangkitan rakyat secara menyeluruh di tanah air nanti.

"Ia adalah lambang keberanian rakyat untuk menentang kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan BN bagi melakukan perubahan terhadap kepimpinan negara.

"Kepada mereka yang ditangkap dan ditahan, bersabarlah menempuhi segala dugaan itu, tetapi jangan bimbang, insya Allah kejayaan pasti akan menyusul nanti," tegas beliau.

Tiada ulasan: