Khairul Azlam Mohamad |
KUALA TERENGGANU: “Kita mahu demokrasi yang mencerdikkan rakyat dan bukan demokrasi yang membodohkan rakyat,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sehubungan itu, jelasnya, himpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 diatur oleh pertubahan bukan kerajaan di kalangan Islam dan bukan Islam. Menurutnya, mereka bukan parti politik dan tidak terlibat dengan pilihan raya. Mereka, ujarnya adalah kalangan cerdik pandai, profesional di seluruh negara daripada pelbagai kaum yang melihat banyak perkara yang tidak kena, yang boleh merosakkan negara kerana demokrasi dirosakkan. “Walau pun hari ini Umno menganjurkan perhimpunan, presidennya (Najib) mengatakan hendak mendukung dan menghidupkan demokrasi, demokrasi jenis apa,” ujarnya ketika berucap kepada orang ramai yang menyambutnya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, malam tadi. Sambutan hebat itu dilakukan ekoran beliau yang juga ahli Parlimen Marang turut ditangkap pada himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara, Sabtu lepas. Selain beliau, timbalannya, Mohamad Sabu dan dua naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub turut ditangkap. Jelasnya, demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim yang adil. Katanya, rakyat mestilah diberi peluang untuk mendapatkan maklumat daripada semua parti yang bertanding, bukan hanya maklumat dari satu parti yang memerintah dan sedang memerintah sahaja sedangkan parti yang tidak memerintah mereka tidak mendapat maklumat. “Dan kita mesti sedar, bagi orang Islam kerajaan yang sempurna hanya kerajaan Allah SWT sahaja,” ujarnya. Katanya, kerajaan manusia tidak sempurna dan mereka perlu ditegur dan dibaiki kerana demokrasi adalah peluang untuk rakyat mengajar parti yang memerintah yang melakukan kesilapan. “Rakyat mesti tahu apa kesilapan dan apa kesalahan, jangan ditutup dan apa yang berlaku hari ini tv, radio, surat khabar yang disebar meluas semuanya memuji kerajaan yang memerintah, kerajaan Barisan Nasional, menutup segala kesalahannya, seolah-olah sempurna macam Tuhan. “Ini satu ajaran salah yang sangat besar,” tegasnya. Beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para peserta himpunan aman Bersih 2.0 daripada pelbagai kaum. Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain berarak sama. “Kita arah jangan lakukan kekasaran. Kita tidak mahu berlawan dengan polis, tidak mahu berlawan dengan pasukan keselamatan. Kita tahu yang jadi ‘kepala halian’ ialah Umno-Barisan Nasional. “Alhamdulillah, pemuda-pemuda kita dari semua kaum ikut arahan,” katanya. Tambahnya, walaupun kerajaan Umno BN menyekat dari segenap penjuru dan ada orang yang diharamkan memasuki Kuala Lumpur tetapi mereka berjaya juga menyertai himpunan. “Macam mana kita rakyat di negeri ini diharamkan masuk ke dalam negeri kita sendiri. Orang Kuala Lumpur pun diharamkan juga masuk ke Kuala Lumpur. Dia duduk di Kuala Lumpur dah, haram macam mana. “Alhamdulillah, kita masuk dan kita adakan perhimpunan dengan jumlah yang sangat besar,” ujarnya. |
Rabu, 13 Julai 2011
PAS mahu demokrasi mencerdikkan rakyat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan