KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan polis menahan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan lima ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat sambil menyifatkan ia satu penghinaan kepada amalan demokrasi negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pembangkang itu menegaskan penahanan Michael selaku wakil rakyat bertentangan dengan amalan demokrasi dan institusi berparlimen negara.
Selain Michael, turut ditahan di bawah Ordinan Darurat adalah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu.
Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membolehkan ditahan selama 60 hari penahanan tanpa perbicaraan.
“Saya mengecam penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj bersama lima yang lain di bawah Seksyen 3 (1) dan Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat.
“Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, saya menegaskan penahanan Dr Michael Jeyakumar di bawah Ordinan Darurat merupakan satu penghinaan terhadap amalan demokrasi dan institusi Parlimen negara ini.
“Beliau selaku ahli Parlimen yang dipilih berhak menyuarakan hasrat rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil,” kata Anwar.
Minggu lalu kesemua mereka ditahan berhubung Himpunan Bersih 2.0 bersama 25 yang lain.
Tegas Anwar (gambar), Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah dikecam dan difitnah dengan gerakan subversif.
“Sedangkan sudah beberapa kali sekretariat Bersih menegaskan perhimpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011 ini merupakanperhimpunan aman.
“Malah sekretariat Bersih sedaya upaya berbincang dengan pemerintah agar tuntutan berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan, akan tetapi gesaan dan tuntutan itu ditolak dengan penuh keangkuhan,” katanya.
Justeru kata Ketua Umum PKR, Putrajaya harus melaksanakan semua tuntutan yang dikemukakan Bersih demi kebaikan rakyat dan negara.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Oleh itu, kata Anwar, beliau menggesa Putrajaya membebaskan segera kesemua aktivis yang ditahan termasuk Michael dan lima yang lain.
“Saya juga menuntut pemerintah menghormati dan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10,” katanya.
Lebih 100 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan Rakyat telah ditahan. Malah polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih 2.0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan