Ahad, 3 Julai 2011

Kit Siang: Gugur Hisham menteri, tarik balik haramkan Bersih




KUALA LUMPUR — Lim Kit Siang menggesa Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin daripada jawatan itu sambil menyifatkan alasan pengharaman pertubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak munasabah.

Tegas Penasihat DAP, tiga alasan yang diberikan Hishammuddin untuk mengharamkan Bersih 2.0 tidak munasabah kerana gerakan menuntut pembaharuan pilihan raya itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini dan dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang berkuat kuasa kelmarin.

Tegas Lim (gambar), lapan tuntutan Bersih dan Himpunan Bersih 2.0 yang disokong Pakatan Rakyat tidak memberi sebarang ancaman ke atas keselamatan negara seperti mana yang didakwa Hishammuddin.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus menggugurkan Hishammuddin dan menarik balik arahan pengharaman Bersih kerana tiga alasan yang diberikan tidak munasabah, malah tiga alasan yang diberikan itu tidak boleh diterima.

“Bersih tidak bersalah. Yang bersalah adalah Perkasa dan Pemuda Umno, malah mereka turut mengancam dengan menggunakan peristiwa 13 Mei dengan memberi amaran kepada orang Cina agar duduk di rumah dan menyimpan bekalan makanan dan Pemuda Umno pula mengepung pejabat PKR dengan mengancam akan melakukan keganasan dan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas pemimpin veteran ini, sepatutnya Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Perkasa dan Pemuda Umno kerana menimbulkan provokasi yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Mengapa Hishammuddin hanya mengambil tindakan terhadap Bersih yang tidak bersalah sedangkan mereka yang menimbulkan huru-hara adalah Perkasa dan Pemuda Umno seolah-olah mereka ini kebal dan bebas untuk melakukan jenayah.

“Soal risalah, adakah kerajaan boleh digulingkan hanya dengan mengagihkan risalah? Ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan pihak berkuasa tidak mempunyai bukti untuk menyokong tuduhan itu,” katanya.

Lim menambah Bersih tidak sepatutnya dipersalahkan memandangkan gabungan lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan keadaan tegang dalam negara.

“Sekali lagi sepatutnya Perkasa dan Pemuda Umno yang harus dipersalahkan bukan Bersih. Kini dengan arahan pengharaman yang dibuat Menteri Dalam Negeri membuktikan beliau memberikan imej buruk kepada negara yang akan menyebabkan kehilangan sokongan rakyat selain memberi kesan kepada kepentingan ekonomi dan perpaduan.

“Adakah Hishammuddin akan mengharamkan dirinya kerana memalukan negara?” katanya.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang semalam, Putrajaya mengisytiharkan Bersih sebagai sebuah pertubuhan haram — seminggu sebelum ia merancang untuk menganjurkan Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Ia perkembangan terbaru dalam siri tindakan keras diambil oleh Putrajaya sejak lebih seminggu lalu.

“Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa pertubuhan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa 1 Julai,” kata Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman.

Abdul Rahman juga berkata Kementerian Dalam Negeri telah menyiasat Bersih 2.0 dan mendapati bahawa ia bukan satu pertubuhan berdaftar.

Bagaimanapun kata beliau, Bersih 2.0 memenuhi takrifan pertubuhan yang berdaftar di bawah Jadual 1, Akta Pertubuhan 1966.

Menurut Abdul Rahman, Bersih 2.0 telah bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini, menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu dan melalui aktiviti-aktivitinya telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Bagaimanapun Ambiga berkata pengharaman itu tidak akan membawa impak sebab pergerakan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya itu telah berjaya dalam memikat “hati dan minda rakyat.”

Bekas presiden Majlis Peguam itu juga tidak bersetuju dengan pentadbiran Najib yang memutuskan pergerakan tersebut menyalahi undang-undang sebab Bersih 2.0 adalah gabungan pertubuhan-pertubuhan didaftarkan dan justeru, ia tidak memerlukan pendaftaran.

Selain itu, pemimpin Pakatan Rakyat juga membantah pengharaman itu.

Tiada ulasan: