Isnin, 4 Julai 2011

Suami kata ejen aniaya kerana baucer RM100, kata balu Sarbaini


KUALA LUMPUR — Balu Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mendedahkan bahawa suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal April lalu kerana telah dianiayai oleh ejen berhubung baucer bernilai RM100.

Bercakap pada inkues yang bermula hari ini, Maziah Manap, 50, menceritakan peristiwa yang berlaku antara 1 dan 6 April lalu.

Dia menceritakan peristiwa itu apabila disoal Abazafree Abas yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues.

“Pada 1 April (sebelah pagi) saya mendapat panggilan daripada anak mengatakan abah nak cakap kerana kawan abah ada tapi saya tak sempat cakap, panggilan terputus.

“Ketika saya pulang ke rumah pada pukul 9 malam anak beritahu saya abah tidur di SPRM, saya cuba hubungi dia tapi tak dapat,” kata Maziah.

Kata Maziah, pada keesokan hari dia cuba untuk menghubungi suaminya pada sebelah pagi namun gagal.

Sebaliknya, Maziah berkata dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya yang berbunyi “kalau kita di pihak benar Allah akan bantu, kalau boleh baliklah sebab esok kita ada kursus haji.”

“Kemudian pada pukul 11 pagi suami hubungi minta ambil dia di pejabat SPRM, suruh datang naik teksi sahaja.

“Ketika tiba di sana, saya disoal oleh seorang pegawai SPRM yang bernama Ghani berkenaan harta saya dan saya ceritakan semua sekali tapi saya dipersoalkan berkenaan dengan wang KWSP.

“Pegawai itu tanya dari mana datang duit dan saya beritahu ia adalah duit KWSP dan saya keluarkan sebahagian sebab dah berumur 50 tahun.

“Tapi saya terus dipersoalkan oleh pegawai itu dan saya minta senaraikan dokumen yang diperlukan agar saya boleh sediakan,” katanya.

Kemudian kata Maziah, dia akhirnya dibenarkan untuk menemui suamninya di tingkat atas pejabat SPRM.

Dia bertanya kepada suaminya mengenai tindakan SPRM itu.

“Dia kata ejen aniaya dia, saya tanya macam mana dan dia kata pasal baucer berharga RM100.

“Ejen sudah mengaku RM70 ejen ambil dan RM30 suami saya... suami kata dia tak ambil dan tidak terima baucer itu,” katanya.

Pada 4 April, Maziah berkata suaminya memberitahunya akan ke pejabat SPRM kerana mahu menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Pada sebelah malam suami bercakap kepada ‘apalah orang SPRM ini, saya ada tiga kereta tapi suruh kata empat kereta’.

“Saya tanya mana datang lagi sebuah, suami kata masuk kereta yang sudah dijual,” katanya.

MENYUSUL LAGI

Tiada ulasan: