Isnin, 4 Julai 2011

Guan Eng persoal sikap pilih kasih Hishammuddin, polis

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — DAP mempersoalkan sama ada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berani untuk mengharamkan Perkasa atau menahan Senator Umno Ezam Mohamad Nor dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagi membuktikan polis tidak mengamalkan sikap pilih kasih.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, DAP mempersoal desakan Hishammuddin bahawa pihak berkuasa akan bertindak adil dalam menghentikan semua perhimpunan walaupun hanya mengharamkan kumpulan reformasi pilihan raya Bersih apabila tiada tindakan diambil terhadap Umno dan Perkasa yang menganjurkan demonstrasi ‘ganas’ di Pulau Pinang Jumaat lalu.

“Mengapakah Hishammuddin tidak menahan Ezam di bawah Ordinan Darurat atas ancaman beliau bahawa tidak perlu tunggu pilihan raya umum dan beliau mahu mengadakan lebih banyak bantahan bagi memaksa saya untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri?” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas salah seorang wartawan, jurugambar dan juruvideo oleh penunjuk perasaan semasa perhimpunan yang diadakan di pusat bandar George Town dan di atas Jambatan Pulau Pinang.

Pewaju mempersoalkan kenapa pihak polis tidak mengambil tindakan undang-undang dan gagal mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menghentikan demonstrasi walhal mereka telah maklum akan hal tersebut sehari sebelumnya.

Lim (gambar) berkata, persoalan juga timbul sebab pihak polis begitu berwaspada dalam mengetatkan kawalan di Himpunan Bersih 2.0, yang belum berlaku, dan tidak cekap dalam menghentikan perhimpunan haram oleh Umno dan Perkasa yang telahpun berlaku. Apa yang mengejutkan adalah kenyataan Pewaju bahawa serangan ke atas wartawan tersebut berlaku di hadapan mata pihak polis, tetapi malangnya penguatkuasaan undang-undang tidak berdaya dan tiada harapan untuk menghentikan serangan tersebut.

“Ketidakcekapan pihak polis dipersoalkan di mana integriti, kecekapan dan kreadibiliti mereka untuk melindungi rakyat Malaysia menjadi persoalan,” katanya.

Kata Lim lagi, DAP menyokong demonstrasi aman tetapi mengutuk sekeras-kerasnya demonstrasi ganas dan kegagalan pihak polis untuk bertindak ke atas demonstrasi ganas oleh Umno dan Perkasa, memberi tanggapan bahawa jelas terdapat “pilih kasih.”

“Penangkapan (Ahli Parlimen Sungai Siput) Jeyakumar dan lima ahli PSM yang lain di bawah Ordinan Darurat adalah tidak adil kerana kegagalan untuk mengemukakan sebarang bukti bahawa dia telah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan negara.

“Tuduhan menyebarkan fahaman komunis adalah tidak masuk akal apabila Malaysia sememangnya telah lama mengadakan hubungan akrab dengan negara-negara komunis seperti Cuba, China dan Vietnam,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya Lim berkata Khairy perlu ditahan kerana cuba menghidupkan semula fahaman komunis dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tetap pada 12 Oktober 2009 untuk mengukuhkan hubungan antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Belia Komunis China.

Jelas sekali, kata Lim, penyokong Bersih yang ditahan minggu lalu dan serbuan sekretariat pada Rabu lalu hanya dijadikan mangsa kerajaan BN, apabila mereka tidak menganjurkan sebarang demonstrasi walhal demonstrasi Umno dan Perkasa dibenarkan berlangsung tanpa sebarang hukuman.

“Tindakan ini adalah tidak adil dan hanya mencemari imej Malaysia di mata dunia dan rekod kerana tidak mengamalkan apa yang dipegang dalam menghormati hak asasi kemanusiaan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: