Selasa, 26 Julai 2011

Sistem Biometrik : Merugikan, Ada Muslihat Terselindung

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


SHAH ALAM : Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memperkenalkan sistem biometrik bagi meredakan kebimbangan terhahap ketelusan pilihan raya bukan saja menambahkan lagi kebimbangan rakyat bahkan merugikan negara berikutan kos perlaksanaan yang tinggi.

Malah, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan cadangan Perdana Menteri itu hanya merumitkan keadaan sekiranya laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digodam ketika proses pilihan raya berlangsung.

Sebaliknya beliau berkata, sistem menggunakan dakwat kekal adalah yang terbaik setakat ini kerana ia boleh dilihat oleh semua orang yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau yakin, sistem biometrik yang cuba hendak diperkenalkan SPR dan mendapat sokongan Kabinet tidak akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

"Bagi kita mudah, dari awal Bersih minta penggunaan dakwat kekal yang jauh lagi murah, mudah untuk difahami dan digunakan untuk semua, jadi kita tidak akan berganjak daripada tuntutan itu," katanya memberitahu Tvselangor.

Tambahnya, beliau tidak dapat membayangkan kerumitan yang bakal berlaku di hari mengundi nanti jika sistem biometrik diperkenalkan dalam keadaan tanpa latihan yang cukup kepada pegawai dan kefahaman yang jelas dari rakyat.

Nik Nazmi berkata demikian bagi mengulas pengumuman kerajaan memberikan persetujuan terhadap SPR mengunapakai sistem biometrik untuk pengesahan pengundi di hari pilihan raya nanti.

Dalam pada itu, ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim memberitahu Tvselangor, beliau turut mempersoalkan sejauhmana keberkesanan sistem biometrik ini dalam menzahirkan sistem pilihan raya yang adil, bersih dan telus dalam setiap pilihan raya di negara ini pada masa depan.

Katanya ini kerana, pelbagai maklumat tersebar berikutan dakwaan terdapat beberapa pemimpin kanan SPR dilantik khas oleh pemimpin kerajaan untuk memastikan kemenangan BN.

Ini berikutan, sistem biometrik ini akan disambungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesahkan status sesaorang pengundi.

"Sekiranya salah satu tuntutan yang kita anggap untuk memastikan senarai pemilik itu bersih dengan (kaedah) biometrik ini yang mempunyai talian langsung dengan JPN, apakah jaminan daripada kerajaan yang menjamin bahawa JPN juga adalah satu badan yang bebas dan tidak memihak kepada mana-mana pihak."

Persoalan sistem ini menjadi hangat kerana hilangnya keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan kewibawaan SPR.

Sebelum ini, usaha pimpinan kampus pendidikan tinggi di Malaysia untuk menggunakan sistem yang serupa dalam pilihan raya kampus juga ditentang hebat oleh pelajar kerana isu ketidakyakinan kepada pengendali pilihan raya.

Tambahnya lagi, beliau bimbang pemberian kad pengenalan palsu kepada warga asing akan membolehkan mereka mengundi secara sah dengan sistem biometrik ini.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan keengganan SPR melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 ini mempunyai agenda tersembunyi semata-mata untuk memenangkan BN pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

"Lapan tuntutan Bersih 2.0 jelas memberitahu bahawa setiap satu tuntutan itu berperanan untuk memulihkan imej SPR dan pihak kerajaan. Kalau inilah yang dicadangankan (biometrik) oleh kerajaan, ia jelas ada perkara lain yang sedang dirancang oleh pihak kerajaan, SPR dengan JPN," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah kerpada rakyat negara ini, khasnya Bersih 2.0, kerana akhirnya kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengakui bahawa sistem pilihan raya di negara ini tempang dengan adanya pengundian berganda untuk seorang pengundi.

Namun, penyelesaian yang diberikan kerajaan BN ini seumpama mahu menggunakan senjata besar yang canggih, seperti peluru berpandu bagi membunuh seorang 'bandit' .

Tambahnya, beliau yakin sebagaimana pembelian dakwat sebelum ini, projek 'biometrik' akan tinggal cadangan sahaja.

Tiada ulasan: