KUALA LUMPUR: Penubuhan politeknik metro akan menyempurnakan lagi sistem pengajian politeknik yang sedia ada sejajar dengan pelan transformasi politeknik yang dilancarkan Februari tahun lepas.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penubuhan politeknik metro juga bukan untuk menyaingi politeknik konvensional yang lain tetapi merupakan satu inisiatif baru bagi melonjakkan lagi pengajian politeknik khususnya dalam menawarkan program pengajian berasaskan perkhidmatan.
"Penubuhan politeknik metro menyediakan program pengajian sepenuh masa dan secara sambilan dalam bidang pekerjaan seperti perdagangan dan perkhidmatan yang sememangnya memenuhi keperluan sosioekonomi tempatan dan wilayah terutamanya bagi keperluan industri kecil dan sederhana dan syarikat multinasional," katanya semasa merasmikan politeknik metro di Setiawangsa di sini, Khamis.
Mohamed Khaled berkata selain politeknik itu, dua lagi politeknik metro akan ditubuhkan tahun ini di Johor Baharu dan Kuantan manakala tujuh lagi bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Katanya konsep politeknik metro adalah unik yang meliputi lima ciri utama berbanding politeknik konvensional lain.
"Antara cirinya termasuk berbaloi dengan wang yang dibelanjakan kerana pembangunannya mengambil pendekatan pertambahan capaian dengan modal minima yang tidak memerlukan perbelanjaan tinggi serta beroperasi di bangunan komersial di dalam bandar tanpa memerlukan kemudahan asrama," katanya.
Mohamed Khaled berkata politeknik itu juga dikhususkan kepada kalangan penduduk tempatan atau pelajar harian dengan sasaran enrolmen pelajar seramai 1,000 orang dengan pelaksanaan dua program pengajian sepenuh masa melalui pengambilan dua kali setahun.
"Jenis program yang ditawarkan adalah berbentuk sepenuh masa dan sambilan dengan penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan pengalaman dan pengetahuan menggunakan ICT secara optimum," katanya.
Beliau berkata dalam aspek program pengajian, politeknik metro memfokuskan kepada penawaran program bercirikan nilai pasaran tinggi seperti pengurusan peruncitan dan perkhidmatan makanan termasuk diploma reka bentuk fesyen, diploma kewangan dan perbankan Islam, diploma pengurusan pelancongan, diploma pengurusan hotel dan katering dan diploma animasi digital.
Mohamed Khaled berkata penubuhan politeknik metro boleh menampung permintaan pelajar yang semakin meningkat dan menambahkan akses ke pengajian politeknik memandangkan untuk pengambilan Jun lepas, politeknik yang sedia ada hanya mampu menawarkan 29,000 tempat berbanding permohonan sebanyak 119,000 orang.
"Kementerian Pengajian Tinggi meletakkan harapan dan sasaran yang besar agar inisiatif baru ini akan melonjakkan lagi prasarana sekitar pengajian tinggi, bermakna kualiti pengajian di politeknik metro juga mesti berada pada tahap terbaik agar dapat menawarkan mutu ilmu dan kemahiran yang terbaik pada pelajar, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan