PUTRAJAYA: Hanya 19,000 daripada 80,000 pemilik lesen kenderaan perdagangan di Semenanjung Malaysia, iaitu pengusaha pengangkutan awam bas, teksi, kenderaan pelancongan dan lori, mendaftar semula dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 1 April lalu.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar meminta baki 61,000 pengusaha pengangkutan awam agar mendaftar segera dengan SPAD dan tidak menunggu sehingga hari terakhir pada 30 September.
"Sudah tiga bulan tetapi bilangan yang daftar masih agak kecil. Orang kita selaku suka buat 'last minit' dan berharap kita akan menyambung tempoh pendaftaran tersebut. Kita tidak boleh menyambung sebab perkara ini bukan ditentukan oleh SPAD tetapi oleh undang-undang. Perkara ini perlu dipandang serius.
"Di Wilayah Tengah sehingga kini hanya 20 peratus pengusaha pengangkutan awam sahaja berdaftar dengan SPAD," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 100 pengusaha pengangkutan awam darat, di sini Rabu.
Syed Hamid berkata bila SPAD menggantikan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)semua pemilik lesen kenderaan perdagangan di Semenanjung Malaysia perlu mendaftarkan semula dengan SPAD.
Katanya mengikut Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2010, kegagalan pelesen mendaftar semula dalam tempoh yang diberikan akan menyebabkan lesen tersebut luput.
Jelasnya pendaftaran semula juga membolehkan SPAD mengemaskinikan segala maklumat pelesen yang diperlukan seperti alamat, nombor telefon, umur, jangka hayat lesen pengusaha sekaligus meningkatkan kawal selia serta memudahkan transformasi industri pengangkutan awam darat di negara ini.
Sementara itu Syed Hamid berkata permohonan untuk Lesen Pengeluaran Sementara (LPS) bagi perkhidmatan bas tambahan untuk musim perayaan Aidilfitri dibuka mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos depan.
"Tempoh LPS ini adalah tujuh hari sebelum dan lapan hari selepas perayaan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan