Isnin, 18 Julai 2011

PKR kesal BN terus peralat polis ganggu program Pakatan


KUALA LUMPUR— Naib Presiden PKR N. Surendran menggesa Putrajaya berhenti daripada memperalatkan pihak berkuasa terutamanya polis demi kepentingan politik sendiri.

Tegas beliau, tindakan Putrajaya menggunakan pihak berkuasa menyekat program-program anjuran Pakatan Rakyat bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, tegas Surendran (gambar), beliau kesal dengan tindakan polis yang mengganggu ceramah yang dihadirinya di Taman Impian, Kuantan kelmarin.

“Mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan rakyat mempunyai kebebasan untuk bercakap dan berhimpun secara aman.

“Namun kedua-dua hak ini telah dinafikan pihak polis yang mana pada 16 Julai (Sabtu lalu) penceramah tidak dibenarkan berucap dan tiada alasan diberikan untuk itu,” katanya sambil menambah, seramai 50 anggota polis berada di kawasan ceramah itu.

Kata Surendran, tindakan polis itu membuktikan Barisan Nasional (BN) menggunakan pihak berkuasa untuk menghalang program anjuran Pakatan Rakyat.

“Ini jelas menunjukkan tindakan itu ekoran campur tangan politik yang datangnya daripada kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri yang mahu menghalang ceramah diadakan.

“Kejadian sama terjadi kepada ceramah dan makan malam yang dianjurkan Pakatan Rakyat di seluruh negara, ini jelas menunjukkan BN secara terang-terangan menggunakan polis sebagai alat politik untuk menindas pembangkang dan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai insiden itu, Surendran berkata polis terus menghalang program itu tanpa memberi sebarang alasan yang munasabah.

“Ia agak mengejutkan apabila saya menyatakan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi ketua polis daerah itu menjawap ‘jadi mengapa, demokrasi?

“Polis juga bertindak agresif dan berkata ‘jangan cari pasal’ apabila kami mengajak mereka untuk berbincang. Perdana Menteri sebelum ini berkata Malaysia adalah negara bebas dan demokrasi, ini jelas satu pembohongan,” katanya.

Ekoran tindakan polis itu, beliau sekali lagi mendesak agar BN menghentikan segera salah guna kuasa yang dilakukan demi kepentingan politik semata-mata.

“Kami merasa bimbang dengan tindakan ini yang dilihat mahu menjadikan negara sebagai ‘negara polis’ sejak beberapa minggu lalu dan ia disusuli dengan melarang rakyat memakai baju Bersih 2.0, mengganggu ceramah Pakatan Rakyat, kegagalan melepaskan enam tahanan di bawah Ordinan Darurat, menghalang perhimpunan Bersih 2.0 dan mengawal semua media cetak dan elektronik.

“Selain itu kerajaan juga bertindak ke atas individu yang mengamalkan hak demokrasi dan ini merupakan satu kegagalan sebuah kerajaan BN yang turut menafikan kuasa undang-undang. Kami menuntut BN menghentikan segera salah guna kuasa demi kepentingan politik dan menghentikan segala bentuk penindasan serta membebaskan enam tahanan Ordinan Darurat,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin juga mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menyalahi undang-undang-undang negara.

Ekoran daripada pengumuman Hishammuddin itu, ramai aktivis Bersih 2.0 dan pemimpin politik Pakatan Rakyat telah ditahan.

Selain itu Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat kerana didakwa cuba memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Tiada ulasan: