Khamis, 21 Julai 2011

Pemuda PAS kesal Selangor benarkan konsert MTV


KUALA LUMPUR— Dewan Pemuda PAS pusat melahirkan rasa terkilan dengan penganjur dan kerajaan negeri Selangor yang mahu meneruskan konsert MTV World Stage Live di I-City, Shah Alam, Ahad ini walaupun mendapat bantahan banyak pihak.

Ketuanya Nasrudin Hasan mendakwa penganjuran konsert itu yang diadakan seminggu sebelum Ramadan mengguris perasaan umat Islam.

Selain itu, kata beliau, sepatutnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat memperbanyakkan program ilmiah dan agama bukan hiburan.

“Kami konsisten melahirkan rasa tidak bersetuju dan amat kesal dengan langkah penganjur yang mahu meneruskan konsert ini yang mana ia telah mengguris perasaan umat Islam apabila ia berlangsung hanya seminggu menjelang Ramadan di saat mereka mempersiapkan diri menyambut bulan mulia dan bulan ibadah.

“Sebelum ini kami telah menghantar dua memorandum bantahan melalui Dewan Pemuda PAS Selangor kerana menganggap konsert itu bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor, namun memorandum itu tidak dipedulikan malah usaha untuk menemui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga gagal,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Khalid berkata, konsert itu akan tetap diteruskan namun pihak penganjur perlu mematuhi garis panduan ketat termasuk tidak membenarkan sebarang penjualan dan penggunaan alkohol serta rokok sepanjang konsert berlangsung.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mewakili persatuan penduduk Seksyen 7 Shah Alam telah menyerahkan memorandum bantahan menggesa Khalid membatalkan konsert itu.

Konsert MTV World Stage Live yang akan berlangsung di I-City ini membabitkan artis-artis antarabangsa.

Antara artis yang mengesahkan penyertaan ialah “30 Second To Mars” iaitu pemenang Band Rock Terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan band tempatan Pop Shuvit.

Tegas Nasrudin, pihaknya tidak membantah hiburan tetapi membantah elemen yang tidak sihat yang dibawa dalam konsert itu.

“Justeru hiburan yang mahu dianjurkan mestilah hiburan yang tidak melekakan dan melalaikan generasi muda dan mendorong pula mereka ke kancah maksiat dan mungkar dengan berlakunya pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sementara negara sedang kritikal berdepan dengan penyakit sosial yang kian tenat dan parah dalam negara kita hari ini khasnya negeri Selangor.

“Berpadalah dengan hiburan, saya setuju manusia perlu berhibur dan hiburan perlu bagi menyerikan hidup namun hiburan yang keterlaluan hanya akan merosakkan minda dan peribadi manusia lantaran manusia mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih penting untuk masa depan hidup mereka selain hiburan,” katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya meminta agar umat Islam tidak menghadiri konsert itu.

Selain itu kata Nasrudin, pihaknya juga akan mengedarkan risalah semasa konsert itu diadakan.

Tiada ulasan: