KUALA LUMPUR— Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan harapan agar semua kaum di Malaysia dapat melibatkan diri dalam permainan sepak takraw dengan mereka mewakili peringkat daerah, negeri dan negara dalam sukan berkenaan.
Beliau berkata permainan sepak takraw dijayakan dengan baik oleh semua kaum utama di Asia termasuk China, India, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Kanada, Australia, Perancis dan Jerman.
“Saya tidak nampak sebab kenapa pasukan negeri dan negara kita tidak dapat menarik minat bukan Melayu ke dalam sukan ini. Ia seharusnya dimainkan di semua negeri dan wang hadiah seharusnya cukup menarik untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan,” katanya dipetik Bernama Online.
“Jika kita berjaya melakukan perkara ini, kita akan dapat melihat konsep 1Malaysia diterapkan ke dalam sukan menerusi permainan sepak takraw, manakala Persatuan Sepaktakraw Malaysia pula dapat memperluaskan pencarian bakat memandangkan sukan itu kini diceburi oleh semua kaum,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2011 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di sini malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian penajaan oleh Naza World yang menaja 36 Chevrolet Captiva dan Limousine Mercedez S Class untuk kegunaan penganjur serta pemain sepanjang kejohanan berlangsung.
Sejumlah 36 pasukan dari 24 negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan buat julung kali itu yang bermula hari ini dan tamat pada 24 Julai di Stadium Titiwangsa di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan