Hakim bersetuju dengan afidavit peguam mewakili KDN bahawa karya kartun Zunar dan MalaysiaKini mengandungi unsur hasutan manakala karya Kim Quek mengkritik kerajaan mendiskriminasi kaum.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan tanpa sebarang kos kartunis politik Zunar, portal berita MalaysiaKini dan penulis Kim Quek mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mengharamkan penerbitan karya mereka.
Zunar, 49, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dan MalaysiaKini masing-masing mewakili buku kompilasi karya kartun yang diharamkan KDN iaitu “1 Funny Malaysia” dan “Perak Darul Kartun.”
Manakala buku ‘March to Putrajaya: Malaysia’s New Era is At Hand’ karya Kim Quek, atau nama sebenarnya Yong Thye Chong, 72, di bawah penerbitan Oriengroup Sdn Bhd turut diharamkan dan 33 buah salinan buku tersebut dirampas.
Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Rohana Yusuf dalam penghakimannya berkata tindakan KDN yang mengharamkan karya terbabit adalah sah mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Melihat kepada kenyataan Menteri dan mempertimbangkan kedudukan isu-isu yang sensitif di negara ini maka pada pandangan saya terdapat alasan-alasan yang cukup bagi Menteri bertindak mengharamkannya.
“Saya tidak nampak keputusan-keputusan yang dibuat, bercanggah dengan logik iaitu tidak berdasarkan bukti yang kukuh atau berdasarkan fakta-fakta yang tidak sesuai,” katanya.
Hakim Rohana turut bersetuju dengan afidavit peguam mewakili KDN bahawa karya kartun Zunar dan MalaysiaKini mengandungi unsur hasutan apabila menyentuh sensitiviti perkauman dan prejudis yang boleh memberi persepsi negatif pembaca terhadap sistem kehakiman negara.
Manakala buku setebal 361 muka surat karya Kim Quek yang mengandungi tulisan yang mengkritik tindakan kerajaan mendiskriminasikan kaum apabila menyentuh isu komuniti Kristian di Sabah dan penindasan kaum India.
“Sehubungan itu, KDN dibawan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak mempunyai kuasa menghalang penerbitan ketiga-tiga karya ini,” katanya.
Saya tidak terkejut – Zunar
Sementara itu, Zunar ketika ditemui pemberita diluar mahkamah berkata keputusan hakim itu tidak akan menghalangnya daripada terus berkarya.
“Saya tidak terkejut dan terkesan dengan keputusan hakim.
“Malah saya sebagai kartunis akan terus menghasilkan karya yang akan mendedahkan korupsi dan penyelewengan kerajaan,” katanya yang kini menerbitkan buku terbarunya ‘Cartoon-o-phobia’ dan ‘Even my pen has a stand’.
Sementara itu, peguam mewakili Zunar, Edmund Bon berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan semakan kehakiman dalam masa terdekat.
Selain Edmund, Zunar dan MalaysiaKini diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga, Aston Paiva dan Fahri Azzat. Manakala Kim Quek diwakili peguam K Shanmuga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan