MB Selangor berkata kegagalan Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan itu menyebabkan perbezaan jurang agihan di setiap negeri adalah besar.
DUN SELANGOR
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan perlu mengagihkan peruntukan negara secara adil dengan mengambil kira peratusan cukai yang dikutip mengikut setiap negeri.
Khalid berkata kegagalan Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan itu menyebabkan perbezaan jurang agihan di setiap negeri adalah besar.
“Kerajaan Persekutuan sekarang dalam tempoh 30 tahun ini tidak amalkan satu sistem agihan untuk tentukan sumber rakyat diseluruh negara. Sebab itu jurang agihan sumber di negeri-negeri sangat besar.
“Setiap agihan ini perlu mengambil kira jumlah cukai yang dibayar oleh negeri. Agihan itu perlu diberi mengikut pembangunan negeri sama ada negeri itu maju atau tidak,” katanya semasa menjawab soalan lisan Hasimah Sidom (BN-Morib) mengenai apakah kerajaan negeri akan memperluas pemberian subsidi pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan dijangka berbelanja lebih RM20 bilion pada tahun 2011 untuk menampung pelbagai subsidi rakyat berbanding kerajaan Negeri yang berbelanja RM152 juta setahun.
Menurut Khalid, pemberian air percuma tidak diterjemahkan sebagai subsidi, namun ia adalah tanggungjawab kerajaan Negeri untuk memberi hak asasi kepada rakyat.
“Penyusunan semula air, nilai harta yang dimiliki Selangor sebahagian kecil diterjemah sebagai pemberian air percuma. Harga air sesuai dengan kehendak dan penggunaan. Dua puluh meter pada penggunaanya akan diberi percuma……lebih 20 meter bukan percuma.
Lebih banyak guna lebih tinggi kos. Air dan tenaga tidak boleh dianggap sebagai subsidi tetapi ia hak asasi rakyat. Maka air percuma tidak akan diterjemah sebagai subsidi.
“Itu sikap kita (kerajaan Negeri) dengan penyusunan industri air di Selangor kerana cara penswastaan yang dibuat sebelum ini tidak ambil kira rakyat.
Kerajaan yang mementingkan rakyat akan memberikan hak asasi, dan rakyat ada hak untuk hidup bagi membangunkan keluarga mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat agar mengambil sikap baru ke arah pembangunan negara Malaysia dengan mengambil kira asas kebajikan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan