Penulis memperkatakan beberapa filem yang menarik perhatiannya secara intelektual dan emosi.
Sebagai kaki wayang, pasti ada filem-filem yang meninggalkan kesan pada minda dan emosi saya; sekali gus perlu saya lakukan catatan sebagai dokumentasi dan rujukan.
Saya berpeluang menonton semula DVD State of Play (2009) dan ternyata membuat keputusan tepat (baca: bijak) memilih sebuah filem yang mencabar minda dari mula hingga akhir.
Filem sepanjang dua jam ini khabarnya adalah berdasarkan sebuah siri – dengan judul yang sama – sepanjang enam jam yang disiarkan menerusi BBC One di TV British pada tahun 2003.
State of Play sebuah filem thriller yang menggabungkan dunia kewartawanan dan dunia politik; pastinya versi filem menggunakan latar Amerika Syarikat berbanding versi siri televisyen yang menggunakan latar Britain.
Saya tertarik menyaksikan dunia kewartawanan digambarkan secara nyata dalam filem ini: bahan berita, sumber, etika kewartawanan, mengejar deadline dan seumpamanya (yang tentunya hanyalah khayalan di Malaysia).
Malah, khidmat editor The Washington Post digunakan untuk membimbing para pelakon yang memegang peranan wartawan. Kesemua elemen ini membuatkan saya tidak kisah menonton filem itu berulang kali.
Bercakap mengenai pelakon, filem State of Play menampilkan gandingan mantap Russell Crowe sebagai Cal McAffrey, Rachel McAdams (Della Frye), Ben Affleck (Stephen Collins) dan Helen Mirren (Cameron Lynne), manakala pengarahnya Kevin MacDonald.
Penggambaran filem ini pada mulanya dijadualkan pada November 2007 tetapi tertangguh kerana Brad Pitt yang sepatutnya memegang watak Cal McAffrey menarik diri kerana tidak bersetuju dengan perubahan pada skrip.
Selepas Russell Crowe mengambil alih peranan itu, Edward Norton yang memegang watak Stephen Collins pula menarik diri; lalu diganti dengan Ben Affleck.
Akhirnya, penggambaran dilakukan dari Januari hingga April 2008. Demikian antara maklumat tambahan yang membuatkan pengalaman menonton State of Play lebih bermakna bagi saya.
Seperti biasa, saya tidak mahu “memecahkan” rahsia dan intipati kisah yang dipaparkan dalam filem thriller ini. Hal ini kerana saya sendiri mahu ‘melupakan’ kisah itu supaya boleh menonton filem itu menerusi DVD berulang kali!
Dalam pada itu, hanya apabila tamat menonton filem The Time Traveler’s Wife (2009) dan melihat senarai nama pelakon pada skrin, saya sedar bahawa watak Clare Abshire dilakonkan oleh Rachel McAdams yang sebelum ini saya saksikan memegang watak Della Frye dalam filem State of Play.
Mitos merentas masa
Saya perlu mengakui bahawa sehingga kini, saya belum membaca novel The Time Traveler’s Wife (2003) karya Audrey Niffenegger walaupun saya amat tertarik melihat kulit buku berkenaan di kedai-kedai buku.
Audrey Niffenegger turut menghasilkan novel The Three Incestuous Sisters (2005) dan Her Fearful Symmetry (2009) yang juga pernah saya lihat di kedai-kedai buku tetapi belum saya miliki.
The Time Treveler’s Wife amat menarik kerana kisahnya bukan mengenai aspek saintifik dan mitos merentas masa; sebaliknya bagi saya adalah metafora mengenai hubungan antara pasangan (kekasih atau suami-isteri).
Saya percaya – dan yakin – bahawa unsur merentas masa (time traveling) digunakan oleh pengarang untuk memperkatakan mengenai “pasangan yang tiada di sisi” iaitu suatu masalah yang bersifat universal dan sering menjadi masalah.
Lakonan Rachel McAdams sebagai Clare Abshire dan Eric Bana sebagai Henry DeTamble berjaya menyampaikan mesej sebenar cerita tanpa menjadikan filem The Time Traveler’s Wife umpama filem Back to the Future.
Selain memegang watak Allison Hamilton dalam filem The Notebook (2004), Rachel McAdams juga memegang watak Irene Adler dalam Sherlock Holmes (2009) dan watak Becky Fuller dalam Morning Glory (2010).
Wajar juga dinyatakan bahawa pelakon kelahiran Kanada ini pernah ditawarkan – tetapi tidak melakonkan – watak Susan Storm @ Invisible Girl dalam Fantastic Four (2005) dan watak Pepper Potts dalam Iron Man (2008).
Manakala, pelakon kelahiran Australia, Eric Banadinovich sebelum ini memegang watak Chopper Read dalam Chopper (2000), Bruce Banner dalam Hulk (2003), Hector dalam Troy (2004), Avner dalam Munich (2005), Romulus dalam Romulus, My Father (2007) dan Nero dalam Star Trek (2009).
Malah, Eric Bana mengarah dan menerbitkan sebuah dokumenteri berjudul Love the Beast (2009) mengenai kecintaannya pada kereta.
Watak yang dibawakan olehnya dalam filem The Time Traveler’s Wife adalah sebagai Henry DeTamble, seorang pustakawan yang lahir pada 16 Jun 1963 dan meninggal dunia pada 1 Januari 2007.
Mungkin selepas ini saya akan merentas ke masa lalu – atau ke masa depan – untuk membaca novel The Time Traveler’s Wife (2003) dan Her Fearful Symmetry (2009) karya Audrey Niffenegger.
Selain itu, ada dua perkara yang menarik perhatian saya untuk menonton filem Fantastic Mr Fox (2009) sebanyak tiga kali setakat ini.
Kesan dramatik
Pertama, filem yang menggunakan teknik stop motion ini adalah berdasarkan novel Fantastic Mr Fox (1970) karya Roald Dahl (1916 – 1990), seorang lagi pengarang yang amat saya minati cerpen-cerpen beliau. Pengarah filem ini, Wes Anderson turut meminati Roald Dahl.
Kedua, Meryl Streep menyumbangkan suara bagi watak Mrs Felicity Fox. Khabarnya, Cate Blanchett yang antara lain berlakon dalam trilogi The Lord of the Rings (2001, 2002, 2003) dan Robin Hood (2010) sepatutnya memegang watak itu tetapi menarik diri atas alasan tertentu.
Fantastic Mr Fox sebenarnya pernah dipersembahkan sebagai drama pentas pada tahun 2001 dan sebagai opera pada tahun 1998; tentunya bukan di Malaysia.
Projek filem animasi yang menggunakan teknik stop motion ini bermula pada tahun 2004 dengan pembelian hak cipta. Kerja-kerja penerbitan pula dilaporkan bermula pada September 2007 di London dengan rakaman suara yang dibuat bukan di dalam studio tetapi di luar studio; termasuk di hutan dan di bawah tanah.
Pasti sahaja ada perbezaan apabila novel diadaptasi ke dalam bentuk filem. Misalnya, bahagian awal dan akhir dalam filem ini tiada dalam novel. Jalan cerita juga diubah sedikit untuk memberikan kesan dramatik. Bagaimanapun, perubahan itu tidak menjejaskan “sentuhan emas” yang menjadikan karya-karya Roald Dahl diminati ramai.
Karya-karya beliau yang turut saya pernah tonton dalam versi filem adalah James and the Giant Peach (1996) dan Charlie and the Chocolate Factory (2005). Manakala filem yang belum berpeluang saya tonton adalah Danny the Champion of the World (1989), The BFG (1989), The Witches (1990) dan Matilda (1996).
Filem pertama lakonan Meryl Streep yang saya tonton dan terus “jatuh cinta” pada kehebatan lakonannya adalah The French Lieutenant’s Woman (1981) di mana beliau memegang watak Sarah dan Anna. Rupa-rupanya, itulah juga filem pertama di mana beliau memegang peranan utama!
Sejak itu, jika ada filem lakonan Meryl Streep, maka saya tahu bahawa filem berkenaan pasti bermutu, mencabar minda dan memenuhi selera intelek saya.
Antara filem yang membuktikan kehebatan Meryl Streep sebagai pelakon berbakat besar – dan telah saya tonton dan saya klasifikasikan sebagai “filem wajib tonton” – adalah Out of Africa (1985), Adaptation (2002), The Hours (2002), The Manchurian Candidate (2004), The Devil Wears Prada (2006), Lions for Lambs (2007) dan Doubt (2008); serta Angels in America (2003).
Selain menulis, membaca dan mendengar buku, Uthaya Sankar SB juga gemar menonton filem yang diadaptasi daripada cerpen dan novel. Beliau kini dalam proses menonton DVD 87 filem yang diadaptasi daripada novel-novel klasik antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan