Sabtu, 16 Julai 2011

Cubaan fitnah Ahli Parlimen Titiwangsa

Mohamad Suhaimi

Pada 15 Julai 2011 Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Titiwangsa telah menerima beberapa panggilan telefon memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kain rentang (banner) berkaitan Ahli Parlimen Titiwangsa YB Dr. Lo’ Lo’ Binti Hj Ghazali telah terpasang di dua lokasi iaitu di persimpangan Jalan Raja Abdullah dan Jalan Sultan Ismail manakala satu lagi di jejantas Jalan Tun Razak berhadapan Pusat Darah Negara.

Ekoran maklumat tersebut, dua pegawai PKWR dan pemuda Titiwangsa telah ke lokasi dan mendapati maklumat tersebut adalah benar dan kain rentang tersebut masih ada. Kain rentang tersebut mempunyai gambar Ahli Parlimen Titiwangsa dan ucapan yang kononnya dikeluarkan oleh beliau. Kain rentang tersebut ditujukan kepada penduduk Kg. Bharu berkaitan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu. Kandungan ucapannya seperti berikut :

“Saya memohon maaf kepada penduduk Kg. Baru terhadap penentangan saya ke atas Perbadanan Pembangunan Kg. Baru, saya sedar Perbadangan Kg. Baru dapat meyelesaikan hubungan manusia dengan Allah dan sesame manusia“ – Dr. Lo’ Lo’.

DPPK Titiwangsa ingin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Titiwangsa tidak pernah sama sekali mengeluarkan dan memasang kain-kain rentang tersebut. Kami beranggapan bahawa tindakan ini dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, terdesak dan mempunyai niat jahat serta tidak bermoral.

Sepanjang sebulan ini Ahli Parlimen Titiwangsa menjalani rawatan perubatan beliau dan bercuti daripada bertugas. Tidak semena-mena kain-kain rentang ini telah dinaikkan dan mengucapkan permohonan maaf kepada pihak-pihak tertentu. Ini adalah suatu tindakan jahat untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti Ahli Parlimen Titiwangsa, malah tindakan ini boleh dianggap cuba menimbulkan keresahan dan salah faham penduduk-penduduk Kg. Bharu khasnya dan Parlimen Titiwangsa amnya.

Ahli Parlimen Titiwangsa konsisten dalam isu Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu seperti yang dinyatakan sebelum ini. Ahli Parlimen Titiwangsa sentiasa mendokong kehendak dan hasrat para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu bahawa mereka menolak sebarang Perbadanan yang akan ditubuhkan berkaitan tanah mereka. Sebagai Ahli Parlimen yang dipilih secara sah mewakili para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu dan penduduk Titiwangsa amnya, Ahli Parlimen Titiwangsa amat komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam memastikan setiap cadangan pembangunan berkaitan Kg. Bharu mestilah melalui persetujuan setiap pemilik dan pewaris tanah kerana setiap inci tanah yang hendak dibangunkan itu adalah hak mereka. Justeru suara mereka hendaklah diambil kira dan dipertahankan. Inilah pendirian Ahli Parlimen Titiwangsa selama ini dan akan berterusan selagi mandat diberikan.

DPPKT beranggapan kain-kain rentang berunsur fitnah ini telah dikeluarkan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan sokongan dan komitmen Ahli Parlimen Titiwangsa dalam isu pembangunan Kg. Bharu. Ini adalah suatu cubaan menangguk di air keruh. Atas ketidaksihatan Ahli Parlimen Titiwangsa, mereka cuba menabur fitnah dan akhirnya melaga-lagakan serta cuba memanipulasi pemikiran dan perasaan penduduk Kg. Bharu. Mereka sedar majoriti pemilik dan pewaris tanah menyokong dan mengharapkan Ahli Parlimen Titiwangsa terus mempertahankan hak mereka daripada dirampas secara terancang oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Justeru mereka cuba melakukan taktik kotor ini untuk menjatuhkan dan mencemar imej Ahli Parlimen Titiwangsa di mata para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu dan penduduk Parlimen Titiwangsa.

Akhir sekali, kepada mereka yang melakukan perkara ini, bertaubatlah selagi pintu taubat masih terbuka. Insaflah bahawa apa yang ada di dunia ini adalah pinjaman semata-mata dan kepada Allah juga akhirnya kita semua.

Disediakan oleh

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

Tiada ulasan: