Rabu, 6 Julai 2011

Bongkar: "Pengundi Klon" Ganti "Pengundi Hantu"

SABAH DAILY

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) didakwa gagal mengesan berlakunya penipuan dalam daftar pemilih sehingga mewujudkan fenomena seorang individu yang mempunyai dua identiti berbeza.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, trend pengundi hantu menjelang pilihan raya kini dilihat sudah berubah apabila muncul trend baru yang juga dikenal pasti sebagai pengundi klon.

Beliau juga mendakwa dalam semakannya di laman web SPR berjaya mengesan perkara itu.

“Semakan hampir satu jam yang dibuat semalam berjaya menemukan lebih 60 data mewakili seorang pengundi yang mempunyai dua identiti berbeza, berdaftar dalam daftar pemilih SPR.

“Saya yakin, jika terus melakukan semakan, masih banyak lagi pengundi klon yang berjaya dikesan.

"Justeru, saya mengambil keputusan untuk tampil menunjukkan bukti terdapat penipuan dalam daftar pemilih,” katanya ketika ditemui semalam.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu berkata, taktik ini merupakan satu perkara baru yang diketahui serta SPR kini terpaksa berdepan dengan isu yang lebih mencabar.

“Dari segi kelayakan, mereka memang layak untuk mengundi kerana mempunyai butiran diri lengkap yang telah didaftarkan.

“Saya tidak terkejut mengapa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) masih diteruskan biarpun mendapat tentangan daripada parti pemerintah. Bersih dijalankan bukan untuk tuntutan politik, sebaliknya untuk mencari kebenaran,” katanya.

Beliau mahu SPR tampil membuat pengakuan bahawa wujudnya penipuan dalam daftar pemilih serta mahu pihak berkenaan membersihkan data-data pengundi klon bagi memastikan pilihan raya akan datang berjalan secara adil.

“SPR perlu melakukan sesuatu kerana saya bimbang jika perkara ini tiada penyelesaian segera, ia akan mengelirukan rakyat dan pengundi. Hanya SPR sahaja yang mempunyai hak untuk membersihkan pendaftaran pengundi klon.

“Sekiranya pihak SPR mengesahkan perkara tersebut dengan segera dan mendedahkan kepada masyarakat, ia adalah peluang keemasan untuk redakan ketegangan berikutan perhimpunan Bersih yang semakin hebat diperkatakan.

“Jika tidak, saya yakin pasti ada pihak yang akan terus mempertikai perhimpunan Bersih,” katanya. -SH

Tiada ulasan: