MUNGKINKAH ‘Tsunami’ keputusan Pilihanraya Thailand 2011 yang telah berpihak kepada Parti Pembangkang, Pheu Thai akan merebak ke Malaysia pada pilihanraya umum akan datang; di tengah-tengah riak kebangkitan rakyat melalui ‘BERSIH’, setelah cuba dipecahkan ombaknya oleh penguatkuasa undang-undang; sedangkan Istana Negara memberi nasihat yang cukup mengesankan.
Lantunan riak gelombang demokrasi rakyat yang membuak dalam senyap, berjaya menyusur istana dan mencemar kasih Duli Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang bertitah agar Kerajaan melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.
“Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu, Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran,” titah Baginda yang mengingatkan agar Kerajaan harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.
Titah Baginda lagi,”Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran Negara.”
Persoalannya, kenapa Ambiga dan pemimpin politik mahu mengheret DYMM Yang Di Pertuan Agong dalam kancah sengketa politik tanpa tujuan khusus, apatah lagi untuk kedaulatan negara, sedangkan segala isu yang dibangkitkan boleh diselesaikan secara saksama di Dewan Rakyat dan Dewan Negara?
Mungkinkan ahli politik di Malaysia sudah kehilangan visi, tidak punya rasa dan tidak punya reti sehingga mencemar institusi ‘Raja Berperlembagaan’ di Malaysia ketika masing-masing hilang punca kerana mabuk kuasa dan ingin merampas kuasa di luar perlembagaan?
Tidak tahu di mana silapnya, isu sekecil ini sebenarnya boleh dilentur atau dijinakkan ketika masih dalam keadaan ‘rebung’; sama ada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berlembut dan mendengar tuntutan serta keluhan rakyat; atau Perdana Menteri sendiri turun gelanggang menemui ‘Kumpulan Pendesak’ ini kerana beliau adalah Idola 1Malaysia yang tidak ada ‘Batas Sempadan’ kerana Malaysia Negara selamat.
Sekalipun Perdana Menteri asyik dengan Twitter dan Facebook, namun jangan lupa 80 peratus rakyat Malaysia belum kenal Twitter dan Facebook dan hanya kenal lambang parti dan kebaikan YB Masing-masing.
Tidakpun berkurang ‘bisa’ dan ‘wibawa’ Perdana Menteri jika melayan pandangan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai Twitter dan Facebook, namun punya hati dan perasaan untuk menyuburkan demokrasi dan keamanan.
Menolak permintaan ‘Bersih’ umpama menggoncangkan ‘Coca-Cola’ dalam keadaan mulut botol yang tertutup telah menyebabkan rakyat marah kerana mereka tidak dapat melaksanakan hak Perlembagaan dan tidak mempunyai cara menegur kerajaan; sehingga menyebabkan mereka memprotes dengan ancaman berarak di jalan raya.
Jika di peringkat awal, Kerajaan menyediakan sebuah tempat khusus seperti Stadium atau Dataran Merdeka dan memberi mereka permit untuk berhimpun dengan sempurna atau menganjurkan forum terbuka atau Program Sambutan Hari Demokrasi; maka Perdana Menteri dan Menteri Kabinet boleh hadir bersama seperti Perhimpunan Sejuta Belia; alangkah indahnya?
Namun masih belum terlambat bagi Kerajaan bertindak secara holistik dengan mengambil nasihat DYMM Yang Di Pertuan Agong kerana rakyat Malaysia masih sayang dan hormat Duli Tuanku.
Gelombang demokrasi di negara Gajah Putih itu mungkin tidak ada asasnya untuk merebak ke Malaysia kerana acuan politik dan budayanya tidak sama, sekalipun satu ketika dahulu di ambang huru-hara; namun kembali berpadu setelah melalui pengalaman pahit ketika di ambang sengketa.
Sekalipun Pilihanraya Umum Ke-12, BN hilang majoriti dua pertiga, namun jika suara hati rakyat tidak didengar, titah Sultan diengkar; maka apalah ertinya sebuah kerajaan yang tidak mempunyai jiwa rakyat, meneruskan retorik tetapi memerlu undi rakyat untuk menang pada Pilihanraya Umum Ke 13 kelak.
Ucapan Tahniah Mantan Perdana Menteri, Abhisit Abhisit Vejjajiva kepada bakal Penggantinya, Yingluck Shinawatra adalah wajah demokrasi yang paling manis di rantau ini sebagaimana nostalgia ketika Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan menyerahkan kuasa pemerintahan kerajaan negeri kepada Tun Sakaran setelah PBS hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 1994.
Jika Pilihanraya Malaysia dilakukan secara saksama; rakyat diberi peluang seadilnya untuk menyuarakan isi hati mereka; pemerangan terhadap rasuah berterusan; pembangunan seimbang; jurang ekonomi antara kaum dapat dirapatkan dan pelbagai usaha kea rah memperkukuhkan Malaysia sebagai sebuah Negara maju di masa hadapan; sudah pasti isu ‘Bersih’ ini hanya carik-carik bulu ayam!
Rabu, 6 Julai 2011
Mungkinkah Tsunami Thailand Ke Malaysia?
Oleh : MUTALIB M.D (sabahkini)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan