KUALA LUMPUR – Sekretariat Bersih 2.0 kecewa dengan alasan-alasan pengurusan Stadium Merdeka yang enggan menerima tempahan untuk pihaknya mengadakan himpunan di lokasi bersejarah itu hujung minggu ini.
Kenyataan yang diperoleh dari laman web Bersih 2.0 menyebut pegawai tempahan memberikan pelbagai alasan, antara lain akan diadakan acara sukan pengurusan dalaman dan kerja-kerja pengubahsuaian.
“Kami kecewa apabila mendapati pegawai tempahan mula memberikan beberapa alasan mengapa tempahan tidak boleh dibuat,” kata kenyataan itu.
Pagi tadi, kepimpinan Bersih 2.0 mengumumkan bahawa pihaknya akan mengadakan perhimpunan yang dirancang, berkaitan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya negara ini, Sabtu ini di Stadium Merderka di sini.
Kenyataan itu juga berkata sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi, wakil Bersih 2.0 telah menghubungi pegawai tempahan Stadium Merdeka untuk membuat tindakan sepatutnya bagi menggunakan premis itu Sabtu ini.
“Ini dilakukan selaras dengan kesediaan tawaran Perdana Menteri (membenarkan stadium digunakan) dan disusuli dengan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong (semalam),” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu kenyataan tersebut menambah, selari dengan aspirasi rakyat Bersih 2.0 berpendirian tegas bahawa, seiring sebahagian daripada perjanjian untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium, satu lokasi yang menggambarkan skala dan kepusatan isu kepada rakyat Malaysia keseluruhan, mesti dipilih.
“Kami telah memutuskan bahawa Stadium Merdeka satu-satunya lokasi yang memenuhi krietria ini dan mengambil pendirian tegas bahawa untuk memperlihatkan keikhlasan dan kejujuran, perdana menteri sewajarnya menggunakan jasa baik beliau bagi kami menggunakan stadium ini dengan segera,” kata kenyataan itu lagi.
Malah tambah kenyataan itu, memandangkan hanya tinggal tiga hari lagi, satu keputusan segera berkenaan dengan lokasi perhimpunan adalah sangat penting.
Katanya, kelewatan dalam meluluskan pengguaan Stadium Merdeka akan dilihat sebagai sengaja melengah-lengahkan yang tidak boleh diterima dan “akan mengecewakan lagi gabungan” ini.
“Kami tidak ragu bahawa kepimpinan yang kuat di peringkat tinggi eksektif akan bertolak ansur dengan sebarang halangan prosedur dalam mempercepatkan kelulusan (menggunakan Stadium Merdeka),” kata kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan