Jumaat, 25 Februari 2011

Saksi: Pen Teoh ‘hadiah’ SPRM, tapi tak siasat dakwat nota misteri

KUALA LUMPUR — Pen ditemui pada poket Teoh Beng Hock telah diberikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada mendiang pada hari dia ditahan untuk siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadap ketuanya Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal memberitahu, beliau tidak memeriksa sama ada dakwat tulisan pada nota misteri, yang dipercayai ditulis Teoh, adalah daripada pen itu.

Nota kontroversi itu dipertikaikan selepas dikemukakan sebagai bukti ketika inkues menghampiri peringkat akhir tahun lalu.

Hari ini, Ahmad Nazri berkata beliau dimaklumkan yang SPRM memberikan Teoh pen itu pada satu majlis yang diadakan di Plaza Masalam, Shah Alam pada hari dia ditahan untuk siasatan.

Teoh dibawa ke bangunan itu yang menempatkan pejabat SPRM Selangor sebagai saksi pada 15 Julai 2009 untuk membantu siasatan.

Bekas setiausaha politik itu ditemui mati pada tingkat lima plaza itu keesokan hari selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

“(Maklumat) ini berdasarkan satu kenyataan daripada seorang pegawai SPRM. Saya tidak boleh ingat siapa,” kata Ahmad Nazri.

Semalam, Suruhanjaya Siasatan menegur Ahmad Nazri kerana tidak menjalankan tugas dengan teliti ketika menjalankan siasatan ke atas kematian Teoh.

Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T.Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat kes kematian Teoh yang disiasat oleh Ahmad Nazri boleh diklasifikasikan sebagai kes yang penting dan luar biasa.

“Oleh itu, kes ini hendaklah diperhatikan dengan mendalam dan terperinci bukannya disiasat secara rambang,” katanya.

Pendapatnya turut disokong oleh pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong yang mempersoalkan tugas Ahmad Nazri sebagai pegawai penyiasat kes itu.

Prosiding siasatan bagi mengenal pasti punca kematian Teoh ini masuk hari ke-10 hari ini.

Kelmarin, Suruhanjaya Siasatan mengarahkan Ahmad Nazri kembali ke lokasi Teoh ditemui untuk mencari kepala jam tangan yang tidak ditemui semasa siasatan.

Arahan itu dikeluarkan selepas Ahmad Nazri mengakui beliau tidak memeriksa dengan terperinci untuk mendapatkan kepala jam tangan itu, yang mungkin boleh menunjukkan masa kematian Teoh.

Malah semalam, Ahmad Nazri memberitahu suruhanjaya bahawa beliau membuat kesilapan dalam menyatakan identiti pegawai SPRM ketika memberikan keterangan semasa inkues sebelum ini, yang membuat “keputusan terbuka” sebelum ini.

Dalam pada itu ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM terhadap dakwaan Teoh dipukul di kepala untuk mematikannya dan adakah beliau melihat darah di kepalanya meleleh (seperti lelehan pada orang sedang berdiri)

dan melekat di seluruh bahagian kolar baju, Ahmad Nazri berkata hasil pemeriksaan pada mayat Teoh di tempat kejadian mendapati terdapat sedikit kesan darah di sebelah kolar kanan.

Katanya darah pada kepala Teoh juga lebih banyak mengalir ke lantai.

Ahmad Nazri yang merupakan saksi ke-12 turut ditanya mengenai dakwaan bahawa sebelum Teoh jatuh, ada sesuatu benda yang keras disula masuk ke dalam punggung hingga menyebabkan beliau cedera parah tetapi, sepertimana dalam inkues terdahulu beliau menegaskan tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa seluar Teoh koyak disebabkan hentakan tulang dari bahagian dalam ke bahagian luar.

Ahmad Nazri turut memberitahu bahawa pada hari yang sama Teoh disoal siasat, Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, kontraktor Lee Wai Leng dan seorang lagi kontraktor bernama Harun juga dipanggil memberi keterangan.

Ditanya adakah mereka membuat aduan telah dianiayai dan dikasari pegawai SPRM, Ahmad Nazri berkata: “Saya hanya ingat Boon Wah yang dia ada kata diarahkan berdiri beberapa jam dan tidak dibenarkan duduk dan ada pegawai yang mengacu-gacukan tangan padanya. Dua lagi itu tiada aduan.”

Menyentuh mengenai nota yang ditinggal Teoh, Ahmad Nazri berkata isi kandungannya tidak menyatakan beliau dicederakan atau dipukul.

Di awal prosiding Ahmad Nazri berkata sekiranya kepala jam tangan Teoh dijumpai ia berkemungkinan dapat menentukan waktu beliau meninggal dunia.

Bagaimanapun ketepatannya hanya boleh ditentukan sekiranya kepala jam tersebut terhenti ketika Teoh jatuh.

Ekoran menyedari betapa pentingnya jam tersebut, beliau dan beberapa pegawai polis lain berusaha mencarinya berkali-kali meliputi kawasan mangsa ditemui dan juga di tempat lain tetapi gagal menemuinya dan hanya tali jam tangan yang ditemui.

Dalam pada itu, Ahmad Nazri juga berkata tiada sebarang senjata seperti kayu dan paip besi dijumpai di pejabat SPRM.

Usaha mencari alat senjata berkenaan dilakukan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri di keseluruhan pejabat iaitu di tingkat 14 dan 15 di Plaza Masalam.

Ahmad Nazri berkata beliau mencari senjata itu di pejabat pegawai penyiasat SPRM Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus (pegawai yang menyoal siasat Teoh), tandas, siling dan kawasan sekitar.

Beliau juga memberitahu tidak menemui sebarang kesan pergelutan di pejabat tersebut.

Ahmad Nazri juga memberitahu suruhanjaya bahawa satu eksperimen dengan menggunakan patung dan botol berisi air dilakukan bagi mengetahui kedudukan simati apabila jatuh dari tingkap pejabat SPRM di tingkat 14.

Bagaimanapun ia tidak dapat ditentukan kerana berat badan simati tidak sama dengan bahan yang digunakan.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah

Rayuan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’ berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: