Selasa, 8 Februari 2011

Nurul Izzah tuntut penjelasan jejantas semeter RM70,422

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa supaya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail memberi penjelasan berhubung kos pembinaan jejantas yang menelan belanja RM10 juta.

Pembinaan jejantas berhawa dingin sepanjang 142 meter itu dibina menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan Hotel Impiana, Kuala Lumpur.

Projek itu kini masuk fasa kedua itu dilaporkan dibiayai Petronas dengan sumbangan RM100 juta untuk laluan sepanjang enam kilometer manakala bakinya dibiayai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan syarikat swasta.

“Angka ini bermakna, secara purata RM70,422 digunakan untuk semeter (jejantas), jumlah yang menuntut penjelaskan sama ada wang awam digunakan dan mesti diambil tindakan,” kata Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Izzah turut mempersoalkan samada projek itu melalui tender terbuka dan kos sebenar pembinaan jejantas berkenaan.

“Adakah syarikat berkaitan kerajaan(Petronas, KLCC Holdings Sdn Bhd, DBKL, dan Prasarana) terlibat, adakah projek itu dibuat secara tender terbuka yang mana pilihan yang lebih murah dapat dikenal pasti?” katanya.

“Berapa sebenarnya angka pembinaan jejantas itu? Ekoran jejantas itu berhawa dingin, berapa kos pengurusan dan operasi dan apakah kosnya akan sentiasa meninggi ekoran kenaikan harga elektrik? soal beliau bertalu-talu.

“Ini semua soalan yang saya ingin ajukan kepada Datuk Raja Nong Chik sebagai menteri yang berkenaan dan juga datuk bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail, dan saya harap dapat dijawab dengan rasa tanggungjawab dan penuh kejujuran,” ujar Izzah.

Justeru itu beliau meminta semua kementerian-kementerian, badan-badan dan organisasi kerajaan untuk memimpin melalui teladan dan menghentikan perbelanjaan yang keterlaluan.

“Akhir sekali, isu ini menunjukkan betapa pentingnya jawatan datuk bandar Kuala Lumpur ini dipilih melalui pilihanraya agar beliau benar-benar bertanggungjawab kepada penduduk Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Tiada ulasan: