Ahad, 6 Februari 2011

Naik taraf masjid rintis projek Kampung Baru KL, kata Najib

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berjanji pembangunan semula Kampung Baru di sini akan bermula tahun ini dengan penubuhan perbadanan pembangunan dan kerja-kerja menaikkan taraf masjid pula merintis usaha tersebut.

Perdana menteri mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk menaikkan taraf Masjid Jamek Kampung Baru dengan berkata masjid itu akan menjadi mercu tanda kawasan penempatan orang Melayu itu, yang terletak di tengah ibu negara.

“Dalam pembangunan semula Kampung Baru, saya mahukan masjid Kampung Baru menjadi titik tolak. Masjid ini akan menggambarkan Kampung Baru yang moden,” kata Najib (gambar) ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru petang ini.

“(Agensi) 1 Malaysia Development Berhad akan menyumbangkan RM20 juta untuk pembangunan semula dan kerja-kerja menaik taraf masjid Kampung Baru,” kata beliau.

Najib mengumumkan rancangan kerajaan untuk membangunkan semula kawasan penempatan orang Melayu terbesar di pusat bandar itu awal tahun lalu dengan menjanjikan penduduk kawasan itu tidak akan ketinggalan.

“Pada tahun ini, rang undang-undang untuk mewujudkan Perbadanan Kampung Baru akan dibentangkan di Parlimen, kita akan lihat perubahan besar di Kampung Baru tahun ini,” kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, sebarang perbezaan mengenai rancangan pembangunan akan diselesaikan tahun ini dan kepentingan penduduk akan dilindungi.

“Jika kita boleh menyelesaikan masalah-masalah lain negara, kita juga akan mencari jalan untuk penyelesaian di Kampung Baru,” kata beliau pada majlis yang dihadiri sekitar 1,000 orang.

Beliau juga mengulangi janji bahawa penduduk kawasan itu tidak akan dipaksa keluar dan mereka akan kekal menikmati faedah dalam rancangan pembangunan semula itu.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 telah dibacakan buat kali pertama Disember lalu.

Ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali kedua bulan depan.

Tiada ulasan: