Selasa, 27 Julai 2010

Gantung permit bukti Umno BN tidak selamat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Roket dapat difahami sebagai kebimbangan kritikal Umno BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.

Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Tarmizi Mohd Jam berkata, jika Umno BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

Ini kerana, katanya tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej Umno BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.

“Mengapa Umno BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi.

“KAMI yakin, kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan Umno BN sebagai langkah mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh Umno BN,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, sebagai persediaan nekad menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan Umno BN terpaksa bertindak 'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi itu, kerana ia menjadi perhatian rakyat.

Baginya, mustahil jika Suara Keadilan dan Roket tidak berbisa, permitnya ditahan.

Begitupun, ujarnya ini tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN.

Sebaliknya, kata beliau amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Sehubungan itu, tegasnya, KAMI terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Roket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah.

Menurutnya, sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam menegaskan suara mereka.

Katanya, tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.

Beliau berkata, berbanding penguasaan Umno BN terhadap media tradisi seperti RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN terhadap Suara Kedailan, Roket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan Umno BN hilangnya segenggam kuasa yang membukitkan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.

Tiada ulasan: