KUALA LUMPUR – PAS akan melancarkan Kempen Antisaman Ekor Isnin ini bagi membela pemandu dan pemilik kenderaan yang disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana mendakwa tindakan pihak berkuasa itu bertentangan dengan perlembagaan negara.
Jawatankuasa kempen itu yang diketuai oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berharap dalam membantu mereka yang teraniaya kerana sistem saman ekor.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Mahfuz berkata jawatankuasa itu ditubuhan untuk memastikan halangan pemilik yang disenarai hitam itu boleh diselesaikan mengikut undang-undang yang sah.
“Ini kerana kita melihat tindakan menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kerana mempunyai saman ekor amat bertentangan, malah kita akan kemukakan bukti bersama nanti,” katanya.
Beliau berkata kesalahan-kesalahan mengatakan pemilik kenderaan bersalah tidak wajar kerana tiada bukti yang kukuh.
“Tidak semestinya pemilik kenderaan bersalah apabila kenderaannya disaman oleh polis atau JPJ, mungkin orang lain yang menaiki kenderaan tersebut.
“Jadi ia tidak ada bukti jelas dan JPJ juga sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan mereka.
“Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak sokong pemandu yang memandu tanpa etika, cuma kita mahu JPJ bertindak adil kepada pemilik kenderaan,” katanya.
Difahamkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh Polis Diraja Malaysia.
“Kita akan merangka tindakan yang akan diambil ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak boleh beritahu sekarang, kena tunggu sidang media minggu depan,” kata Mahfuz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan