Jumaat, 30 Julai 2010

Sivakumar mahu Dun Perak bersidang empat hari

Harakahdaily

IPOH: Speaker Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V. Sivakumar (gambar) meminta sidang pada 3 Ogos ini dipanjangkan tempohnya, sekurang-kurangnya empat hari bagi membolehkan semua Adun berbahas.

Bercakap pada sidang media di pejabat Pakatan Rakyat, dekat sini semalam, beliau berkata, sidang Dun yang singkat tidak menggambarkan demokrasi yang baik kerana Dun merupakan tempat untuk setiap Adun membahaskan masalah rakyat.

"Sidang yang singkat bukan satu amalan yang baik, kerana dewan merupakan forum untuk membincangkan masalah rakyat. Jika wakil rakyat tidak diberi peluang untuk membawa masalah rakyat, apa guna sidang dewan?" katanya yang juga Adun Tronoh.

Selain mahu sidang dilanjutkan tempohnya, Adun Pakatan Rakyat turut membuat beberapa tuntutan lain antaranya meminta jawapan soalan lisan diberikan dalam masa satu setengah jam tanpa Adun Barisan Nasional mencari helah untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Sivakumar juga berharap pada sidang kali ini, semua pihak menghormati perintah-perintah tetap dan tidak mengulangi tindakan pada sidang yang lepas dengan tidak mempedulikan Adun yang bangun menggunakan perintah tetap.

Selain itu, beliau tidak mahu ada campur tangan daripada pihak keselamatan dan 'double standard' terhadap Adun Pakatan Rakyat seperti pintu dan waktu masuk ke dewan yang berbeza dan kawalan ketat kepada Adun Pakatan sahaja.

Dalam pada itu, Sivakumar turut membantah surat yang dikeluarkan oleh speaker BN, R. Ganesan yang melarang Adun mengambil gambar dan merakam sebarang peristiwa dalam dewan.

Malah turut disenaraikan perkara yang tidak boleh dibawa masuk iaitu perakam video, komputer, kamera, sepanduk, poster, bahan bercetak, dan arahan supaya telefon bimbit dimatikan.

Bagi pihak petugas media pula, beliau meminta agar semua petugas media sama ada daripada pihak kerajaan atau Rakatan Rakyat ditempatkan di dalam dewan untuk mendapat gambaran yang sebenar, bukannya diletakkan dalam ruang khas seperti yang berlaku pada sidang yang lepas.

Turut dipersoal beliau mengenai larangan untuk pemerhati masuk dan mengikuti sidang dan tidak ada siaran langsung dibuat seperti yang dilakukan sewaktu Pakatan memerintah.

Beliau turut menyifatkan Dun sudah tidak berfungsi dan 'cacat' sejak berlakunya rampasan kuasa di Perak.

Tiada ulasan: