Jumaat, 30 Julai 2010

Rahsia Kejayaan Jho Low...



Low Taek Jho memperjelaskan beberapa kekeliruan
berhubung dirinya kepada Ketua Pengarang Kumpulan
The Star, Datuk Wong Chun Wai.

DALAM temuramah eksklusif bersama The Star, Jho Low - jutawan muda dari Pulau Pinang yang menjadi terkenal kerana berpacaran dengan artis-artis Hollywood dan anak-anak Pak Arab yang kaya raya, telah menceritakan serba sedikit rahsia tentang dirinya. Ikuti temubual bersamanya;

STAR (S): Anda mengambil A-Level di Harrow (sebuah sekolah swasta berprestij di UK). Bagaimanakah pentingnya perkara itu kepada anda kini?

JHO LOW (JL): Terdapat beberapa perkara penting terutamanya dalam soal membina hubungan ketika saya berada di sana. Harrow menempatkan ramai anak-anak daripada keluarga berpengaruh dari Eropah, Asia dan Asia Barat. Di situlah saya bertemu dengan anak bekas Raja Jordan, antara lainnya.

Waktu itu juga penting bagi saya. Ketika itulah saya berjaya membina asas perhubungan penting demi masa depan. Itu amat penting, kerana saat itulah kita kenali mereka sebagai sahabat dan memupuk kepercayaan untuk masa hadapan, berbanding berjumpa seseorang sewaktu perjalanan kerjaya perniagaan anda.

Selepas Harrow saya melanjutkan pengajian di Wharton untuk memperluaskan jaringan. Sepanjang pengajian dari 1998 hingga 2005, ia menjadi tempoh perkembangan paling utama bagi saya. Saya percaya pada kerja keras dan ketekunan.

Tapi saya akui, kejayaan juga bergantung kepada berada di tempat yang betul pada waktu yang tepat dan berjumpa dengan orang yang betul digandingkan dengan perhubungan yang bersandarkan kepada kepercayaan.

S: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai Kumpulan Wynton yang anda bina.

JL: Saya mengambil cuti selama satu semester sewaktu di Wharton untuk menubuhkan syarikat pelaburan dikenali sebagai The Wynton Group. Kami mempunyai modal awal sebanyak AS$25 juta (RM79.8 juta) kebanyakannya hasil pelaburan ahli-ahli keluarga saya dan rakan-rakan baik saya dari Asia Barat dan Asia Tenggara.

Kami bermula dengan banyak portfolio pelaburan dari seluruh dunia. Kemudian, kami mengambil keputusan untuk mengembangkan perniagaan dari membeli dan menjual saham awam kepada ekuiti persendirian.

Hari ini, pelaburan Wynton bernilai lebih AS$1 bilion. Apabila saya memulakan syarikat itu ketika masih menuntut di universiti, saya bermula dengan konsep SOHO iaitu kediaman berkonsepkan rumah dan pejabat. Tidak lama selepas itu, ia dijadikan satu entiti rasmi dan kami mempunyai pejabat di Malaysia, Singapura dengan berpangkalan di British Virgin Island.

S: Apakah saham terbaik yang pernah anda laburkan?

JL: Yang kelakarnya, ketika di universiti, saya menulis beberapa artikel untuk jurnal Wharton. Beberapa cadangan saya menjadi, tetapi sesetengahnya memang cukup teruk. Wharton mendidik kita melihat kepada pelbagai portfolio. Pada akhirnya, yang penting adalah pulangan dari hasil pelaburan kita dan juga kepelbagaian.

S: Di Asia Barat, di negara mana paling banyak anda luangkan masa?

JL: Saya bermula dengan hubungan yang dibina ketika saya menghabiskan banyak masa saya di London, khususnya dengan rakan baik di Kuwait, Abu Dhabi dan Arab Saudi.

Saya lihat begitu banyak peluang untuk rakyat Malaysia, terutama di Asia Barat kerana mereka memiliki aliran modal yang besar dan begitu juga sebaliknya dari Asia Barat ke Malaysia, di situlah terletaknya minat saya.

Walau apa pun, saya rakyat Malaysia. Saya seorang individu yang tidak melupakan negara asal saya dan percaya banyak yang boleh dilakukan untuk Malaysia. Tetapi bila anda sudah membina kepercayaan pelabur, anda perlu tunaikan apa yang telah dijanjikan.

S: Jadi siapakah yang anda kenali di Abu Dhabi?

JL: Saya mempunyai ramai kawan rapat dan kenalan baik di Abu Dhabi. Khususnya, saya bersahabat baik dengan Yousef Al Otaiba, bekas pengarah perhubungan antarabangsa di Pejabat Putera Mahkota dan kini duta Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika Syarikat (AS) dan Mexico. Yousef adalah anak kepada Dr Mana Al Otaiba, menteri minyak pertama UAE.

S: Anda kenali beliau ketika di Harrow?

JL: Tidak, beliau dikenalkan kepada saya oleh rakan-rakan. Sudah tentu, saya juga rapat dengan beberapa ahli keluarga diraja Abu Dhabi. Saya fikir perkara hebat tentang hubungan Abu Dhabi dan Malaysia adalah kedua-duanya benar-benar komited terhadap Malaysia dan saya rasa bukan sahaja boleh dilihat menerusi media hubungan baik di tahap kerajaan malah di kalangan sektor perniagaan.

Ada banyak kepercayaan daripada mereka dengan banyak syarikat Malaysia beroperasi di sana terutama dalam sektor pembinaan.

S: Apa hubungan anda dengan Hamad Al-Wazzan pula? (Hamad merupakan pelabur perbankan dan usahawan berjaya).

JL: Beliau rakan dari Wharton School dan muda beberapa tahun dari saya. Beliau merupakan sebahagian daripada ahli keluarga Al-Wazzan, kerabat berpengaruh di Kuwait. Bapa saudaranya juga merupakan orang penting di sana dan beliau adalah sahabat saya yang banyak meluangkan masa bersama sekumpulan rakan kami di New York, yang mungkin menjurus kepada artikel di New York Post, dan saya perlu menjelaskan perkara ini.

Saya banyak menghabiskan masa di New York dan mempunyai ramai kawan yang sama-sama menuntut di Wharton, akhirnya bekerja di Wall Street. Dalam pada mengumpulkan dana untuk pelaburan baru kami, kami percaya bahawa ia harus diperluaskan ke Asia Barat dan melihat kepada institusi pelabur di AS. Jadi kami banyak menghabiskan masa di New York.

Memang benar kami semua tinggal dalam satu apartmen, dipanggil Park Imperial. Tetapi tidak, saya tidak menyewa Park Imperial, tapi saya boleh katakan ia apartmen yang cantik. Kami 12 orang semuanya, jadi ia sebuah kediaman besar kira-kira 5,000 kaki persegi.

S: Jelas sekali ia disewa. Siapa yang membayarnya?

JL: Bukan saya atau Hamad. Ada seorang lagi rakan kami yang menyewa apartmen itu.

S: Adakah benar kadar sewanya AS$100,000 sebulan?

JL: Saya tak pasti tetapi saya boleh katakan bahawa saya menyumbang kepada bajet makanan.

S: Nampaknya macam seperti berkongsi rumah dengan rakan-rakan sekolah?

JL: Ya, semua 12 sahabat berkumpul di satu tempat dan meluangkan masa bersama kerana sudah lama tidak bertemu.

S: Semua pelajar Wharton?

JL: Sebahagian dari Wharton, separuh lagi Harrow. Laporan mengenai perbelanjaan mewah itu ditokok tambah. Sewaktu kami di sana, kami menikmati makan malam di restoran yang baik dan mereka semua datang dari keluarga berada, jadi mereka mempunyai kuasa berbelanja lebih. Dan kadang-kala rakan Wall Street menjemput kami menghadiri acara tertentu. Satu majlis yang dilaporkan New York Post merujuk kepada parti pertunangan seorang rakan.

S: Bagaimana perasaan anda apabila anda yang menjadi tumpuan sedangkan rakan-rakan yang lain berjaya mengelak daripadanya?

JL: Itulah paling menarik. Saya rasa mungkin ada kaitan dengan aspek dan gaya perhubungan kerana sebagai rakyat Malaysia, saya datang dari keluarga boleh dikatakan ok tetapi tidaklah sekaya dan sepengaruh orang-orang yang saya habiskan masa bersama yang juga sahabat baik saya. Secara umum, saya merupakan orang perhubungan yang suka menguruskan segala-galanya, justeru nama saya berada di mana-mana.

S: Jadi anda seolah-olah macam 'mangsa' di sini?

JL: Saya takkan kata begitu. Saya orang yang membuat panggilan, tempahan dan sebagainya. Melainkan jika kami pula dijemput rakan-rakan lain, jadi ada orang lain yang menguruskan perkara itu.

S: Adakah kerana mereka kurang teratur dan anda lebih tersusun?

JL: Tidak, saya rasa kerana kebanyakan keluarga mereka terdiri daripada pelabur saya.

S: Jadi dalam hal ini anda sebenarnya menjaga pelabur anda?

JL: Ya. Saya melakukan segala yang perlu. Saya memikirkan hubungan dengan pelabur bukan sekadar menguruskan duit mereka dengan baik. Walaupun bukan bidang tugas saya, tetapi jika sahabat saya kata dia mahu penerbangan segera atau hendak makan di tempat terkenal, saya akan berusaha mendapatkannya.

S: Betulkah bil di (kelab malam) Avenue mencecah AS$160,000?

JL: Saya rasa faktanya ialah ia adalah sebuah parti yang diadakan untuk meraikan pertunangan seorang kawan yang saya diberitahu mencecah kos sehinggaAS$160,000. Jika diserahkan kepada saya, tidak mungkin saya akan membelanjakan wang itu.

S: Jadi bagaimana dengan parti ulang tahun anda di Las Vegas?

JL: Sebenarnya sekumpulan sahabat rapat saya; sesetengahnya juga pelabur yang mengadakan kejutan parti hari jadi yang akan saya ingati sampai bila-bila dan cukup luar biasa. Saya rasa itulah gunanya sahabat akrab. Ia sempena sambutan ulang tahun ke-28 saya November lalu.

S: Adakah mereka menempah seluruh Ceasar's Palace untuk tujuan itu?

JL: Tidak, parti itu diadakan di tepi kolam renang Ceasar's Palace.

S: Adakah anda menghantar champagne Cristal kepada Lindsay Lohan?

JL: Saya fikir ada paten pihak cuba menggambarkan saya sebagai seseorang yang suka memesan champagne secara berlebihan. Tapi saya rasa fakta di sini, mereka perlu sedar bahawa terdapat beberapa majlis khas diadakan dan kebanyakannya bukan dianjurkan oleh saya.

Satu perkara yang saya mahu jelaskan di sini ialah, bukan saya mahupun abang saya yang membelanjakan AS$2 juta di St Tropez untuk berparti. Itu sama sekali 100 peratus tidak benar dari segi fakta. Ramai di antara kami iaitu antara 40 hingga 50 orang yang memesan minuman dan berehat pada malam itu. Bagi saya, kami semua bekerja keras. Sudah tentu, kami mempunyai kelemahan kerana di usia ini, orang akan mengganggap perkara itu sebagai sesuatu yang berlebihan. Pada akhirnya, saya menguruskan wang pelabur dengan cermat. Saya menjana pulangan untuk mereka. Saya bukan seorang yang boros tetapi saya akui saya memang meluangkan masa berehat bersama rakan-rakan.

S: Jadi anda bukanlah lelaki misteri yang disebut-sebut itu?

JL: Saya rasa mungkin saya dikenali sebagai lelaki misteri kerana orang tidak tahu apa-apa tentang saya. Dan saya harap selepas hari ini, ia menjelaskan banyak perkara.

S: Semua publisiti ini, adakah membantu atau menjadi penghalang kepada anda?

JL: Ramai orang bercakap kepada saya tentang ini dan jika ia boleh menjejaskan perniagaan saya ia adalah kerana ramai pelabur saya datang dari negara Islam.

Pertama sekali, perkara paling utama adalah kepercayaan. Jika anda tidak percayakan saya, anda tidak akan percaya saya melabur wang anda. Keduanya, ia adalah fakta yang diperbesar-besarkan. Ketiga, dengan tumpuan media yang besar, walaupun amat mencabar, saya anggap sebagai cabaran untuk memperbaiki diri. Saya mengambil keputusan sudah tiba masanya untuk saya muncul dan jelaskan fakta-fakta ini.

S: Akhbar berbahasa Cina melaporkan, bapa anda menasihati agar anda tidak menonjolkan diri. Adakah benar dia memberi nasihat demikian?

JL: Saya ada bercakap dengan bapa saya berkaitan hal ini dan saya diberitahu bahawa dia tidak bercakap kepada pihak media. Saya rasa mungkin ia dipetik dari perbualan kasual atau silap petikan, saya tak pasti. Tapi saya telah bercakap dengan ibu bapa dan sudah tentu mereka bimbang dengan semua publisiti ini dan bagaimana ia boleh menjejaskan kami semua. Daripada apa yang saya pelajari di sekolah perniagaan, dalam kehidupan, jika kita tidak menyahut cabaran, kita tidak akan menjadi matang. Saya rasa ini pengalaman penting bagi saya untuk meningkatkan diri.

S: Kami ingin bertanya tentang Paris Hilton. Adakah anda berdua sedang bercinta?

JL: Rick dan Kathy Hilton, ibu bapa kepada Paris dan Nicky, merupakan keluarga paling berpengaruh dalam sektor hartanah di luar kawasan Los Angeles dan saya diperkenalkan kepada keluarga ini oleh seorang kawan baik. Saya sebenarnya sudah lama mengenali keluarga Hilton. Begitulah halnya saya mengenali anak-anak mereka. Gadis-gadis itu sedang melancong dengan sekumpulan 40 orang. Kami mempunyai kawan berpengaruh dan berjaya dari Russia, Kazakhstan dan Asia Barat juga. Kami semua dalam kumpulan yang sama dan berkenalan antara satu sama lain.

S: Sewaktu Piala Dunia di Afrika Selatan, adakah benar anda memiliki sebuah bilik korporat di Johannesburg Soccer Citystadium?

JL: Pertama sekali, ada cakap-cakap tentang saya menyewa pesawat dari London ke Afrika Selatan. Untuk menjelaskannya, saya tidak menyewa pesawat sebaliknya berada dalam penerbangan itu dengan lebih 20-30 orang. Sebahagian besar waktu itu saya luangkan masa bersama anak-anak pelabur atau bersama rakan-rakan yang bekerja keras untuk membina perniagaan masing-masing atau mewarisi perniagaan keluarga. Mereka ada gaya hidup yang tertentu dan saya bertuah kerana dapat bersama-sama menikmati gaya hidup mereka itu. Malang sekali, saya pula digambarkan sebagai menjalani gaya hidup berlebih-lebihan.

S: Ini ada satu lagi cerita mengatakan anda sebenarnya tidak minat pada Paris, tetapi Nicky Hilton.

JL: Itu tidak benar dari segi fakta. Saya mengenali teman lelaki Nicky. Dia adalah David Katzenberg, anak kepada salah seorang pengasas Studio Dreamworks.

Tiada ulasan: