Rabu, 28 Julai 2010

Hukuman Ringan, Penganut Hindhu Kecewa

TV SELANGOR

Persatuan Malaysia Hindhu Sanggam menganggap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang meminda pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang terlibat dalam demontrasi kepala lembu pada 28 Ogos tahun lalu, menghampakan penganut Hindu.

Setiausahanya, Baskaran Masilamany kesal kerana mahkamah hanya menjatuhkan hukuman ringan sedangkan ia adalah isu besar dan menyentuh sensitiviti antara kaum dan agama berikutan pertukaran pertuduhan.

“Memang ini isu yang sensitif,” kata Baskaran.

Suka atau tidak, Baskaran dan seluruh penganut Hindu yang terkilan dengan demontrasi yang menghina haiwan suci agama mereka, terpaksa akur dengan keputusan mahkamah.

“Itu keputusan mahkamah dan itu bukan keputusan awam. Saya tidak boleh komen keputusan mahkamah kerana mahkamah yang membuat pengakhiran keputusannya,” katanya.

Pun begitu, beliau berharap insiden seumpama itu tidak berulang sekalipun mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada 12 tertuduh berkenaan.

“Masalahnya kita tidak mahu di dalam negara kita ada apa-apa pergaduhan antara kaum atau agama. Kita mahu hidup dengan aman, kalau ada masalah, kita perlu berbincang dan selesaikan masalah tetapi ini adalah sesuatu yang dia orang tidak patut buat bawa kepala lembu macam ke pejabat setiausaha ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Hakim yang menasihati semua tertuduh supaya tidak melalukan sebarang perbuatan secara terburu-buru.

“Saya berasa di Malaysia ini bukan satu bangsa dan agama sahaja. Memang kami mengaku semua agama boleh membuat perayaan tersendiri, kita hidup dengan aman. Kita perlu membuat pengakhiran dan jangan timbul lagi apa-apa hal boleh bincang,” katanya.

Tiada ulasan: