Jumaat, 30 Julai 2010

Kes tuduhan sodomi Anwar bersambung 2 Ogos


anuar bukhari FREE MALAYSIA TODAY

PETALING JAYA: Kes perbicaraan tuduhan sodomi terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung Isnin ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, demikian menurut satu kenyataan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini.

Para pemerhati dan para pemimpin di seluruh dunia percaya tuduhan terhadap Anwar tidak berasas dan bermotifkan politik tetapi pihak berkuasa bekeras untuk meneruskan perbicaraan.

"Perbicaraan kelihatan seperti ulangan perbicaraan yang memalukan yang terpaksa beliau harungi pada tahun 2998 dan 1999, yang menerima kutukan dari seluruh dunia dan mengakibatkan beliau dipenjara selama enam tahun.

"Sehingga ini, penghakiman yang dibuat oleh mahkamah adalah tidak adil dan ini menyukarkan tugas para peguam Anwar untuk mempertahankan beliau," kata kenyataan itu.

Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, yang kedua-duanya terlibat dalam kes sodomi pertama, didapati sebelum ini telah memalsukan bukti terhadap perbicaraan Anwar pada 1998 dan 1999.

Sejak akhir-akhir ini, satu lagi skandal baru telah muncul. Blogger terkenal Raja Petra Kamaruddin mendedahkan bahawa seorang dari pasukan pendakwaan mempunyai hubungan sulit dengan Saiful, yang membuat tuduhan terhadap Anwar dan juga saksi utama pihak pendakwaraya.

Pasukan pendakwaraya dengan cepat mengeluarkan namanya dari pasukan itu selepas hubungan sulit beliau dengan Saiful didedahkan.

Serangan tersusun terhadap Anwar

Kenyataan itu berkata, "agar kita dapat melihat kes ini dari perspektif yang betul, perbicaraan baru ini harus dilihat dari sudut yang lebih luas iaitu suatu bentuk serangan yang tersusun terhadap Anwar dan para pemimpin Pakatan Rakyat yang rapat dengannya.

"Malahan, asakan secara komprehensif ini dengan menggunakan pelbagai jentera kerajaan oleh rejim Umno-Barisan Nasional semakin meningkat momentumnya sejak setahun lalu.

Kerja-kerja kotor ini termasuk mencemarkan imej Anwar secara berterusan dengan menggunakan media arus perdana (yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh rejim yang memerintah)," tambah kenyataan itu.

Usaha-usaha jahat juga sedang dijalankan untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat terutama Selangor, negeri terkaya yang diterajui oleh PKR.

Contoh paling ketara ialah asakan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor.

Bulan lalu, pembaharuan permit ketiga-tiga akhbar parti Pakatan Rakyat, sama ada telah ditangguh atau dinafikan. Walaupun permit akhbar Harakah telah diperbaharui baru-baru ini tetapi telah dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat.

Kata kenyataan itu, perbicaraan Anwar dijadual berlangsung sehingga hujung bulan Ogos.

Tiada ulasan: