Mohd Nasir Awang |
Pada adatnya, jika tidak kerana kegagalan pendemokrasian media-media arus perdana dikuasai Barisan Nasional (BN), sudah tentu parti-parti pembangkang tidak perlu bersusah-payah mengadakan rangkaian media mereka sendiri. Malangnya, kerakusan BN memonopoli media cetak dan elektronik serta menidakkan hak parti lawan mendapat liputan adil dari media tersebut membuakkan lagi tuntutan rakyat mencipta ruang sendiri untuk sebaran maklumat alternatif. Tidak sukar diakui betapa hakikat itu membelenggu parti-parti pembangkang negara ini sejak sekian lama. Cuma oleh kerana sebelum ini status mereka sekadar pembangkang, maka berbagai kekurangan mengekang usaha lebih agresif merealisasikan hasrat mereka mengadakan rangkaian maklumat tersendiri. Sebagai kumpulan politik yang diakui sah di sisi perlembagaan dan undang-undang negara, pembangkang juga berhak diberi ruang dan peluang menyampaikan pandangan dan pendirian mereka berhubung berbagai perkara yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi kini setelah PAS, DAP dan PKR berjaya menguasai beberapa kerajaan negeri, tuntutan menyebarkan maklumat tepat dan jelas berhubung perkembangan pemerintahan di negeri-negeri yang mereka kuasai tentunya lebih dibutuhi. Saya percaya perancangan kerajaan Selangor memperuntukkan RM15 juta daripada belanjawan tahun depan untuk memperkukuhkan rangkaian sebaran maklumat pemerintahannya adalah bertitik-tolak daripada realiti disebutkan itu. Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim pada Isnin (26 Julai) memaklumkan peruntukan kira-kira satu peratus daripada RM1.5 bilion belanjawan 2011 itu bertujuan memberi penumpuan kepada penyebaran maklumat melalui penerbitan akhbar, portal berita, penyiaran televisyen Internet dan kemungkinan stesen radio sendiri. Menurutnya, jumlah RM15 juta itu tidaklah terlalu besar jika dibandingkan kepentingan penerimaan maklumat yang benar oleh 5.2 juta rakyat Selangor. Kos itu hanya melibatkan RM3 untuk setiap penduduknya bagi tempoh setahun. “RM3 bukanlah jumlah yang besar. Bayar TV (siaran berbayar) pun lebih daripada itu. Kita akan gunakan duit ini untuk disediakan kepada (akhbar) Selangor Kini, TV Selangor dan kalau boleh stesen radio,” katanya, selepas merasmikan Majlis Dialog Bajet 2011 di Shah Alam. Bagai diduga hasrat mewujudkan ruang lebih adil bagi rakyat menilai maklumat alternatif itu tidak mudah diterima BN. Media kroninya dalam melaporkan berita itu tanpa tangguh terus melabelkan tindakan Khalid sebagai menyalah gunakan wang rakyat untuk penyebaran propaganda politik pakatan pembangkang. Seorang wakil rakyat pembangkang di Selangor pula dipetik media sebagai menyifatkan hasrat kerajaan negeri itu suatu tindakan yang “tidak masuk akal”. Beliau tidak nampak apa rasionalnya menggunakan peruntukan kerajaan negeri untuk tujuan memperkukuhkan kedudukan parti pemerintah negeri itu. Agak menarik, hujah dilontarkannya tanpa disedari boleh dijadikan persoalan balas terhadap BN sendiri. Antaranya, beliau mempersoalkan apa gunanya kerajaan negeri mempunyai pegawai-pegawai kerajaan, ketua kampung, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan sebagainya jika tidak digunakan untuk menyebarkan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri? Ya, kita patut bersetuju dengan hujah wakil rakyat Umno itu. Kemudian kita tanya semula beliau dan para pemimpin BN lain soalan sama. Maka kita simpulkan pula apa perlunya BN begitu rakus memonopoli ruang penerbitan dan penyiaran di media-media arus perdana, jika ia sudah ada sebegitu ramai pegawai dan pendokong kerajaan di bawah kerajaan Pusat dan negeri-negeri dikuasainya? Malah, pernahkah kita bertanya berapa ratus jutakah kos dan peruntukan tahunan dari wang rakyat dibelanjakan BN untuk menjayakan propaganda dan gerak sarafnya menerusi media-media kerajaan itu? Tanyakan juga, apakah media-media elektronik di bawah RTM dan lain-lain agensi media kerajaan tidak pernah digunakan untuk tujuan memperkuat dan mengukuhkan kedudukan BN? Justeru, mengapa BN kalut tak ketahuan hala apabila parti lawan merencanakan langkah serupa? BN tentunya tidak mahu dikata orang takut kepada bayang-bayang sendiri dan tidak rela melihat rakyat didedahkan kepada maklumat alternatif. Apatah lagi kita sering disumbati persepsi negatif kononnya semua media propembangkang menyiarkan berita menyalahi fakta, fitnah dan bohong. Laporan media pembangkang yang mendedahkan kelemahan dan kepincangan kerajaan BN dengan mudah ditohmah sebagai menghasut rakyat membenci BN. Sepatutnya tanyakan juga, apakah media arus perdana yang rata-rata dikuasai kroni BN tidak mengamalkan tabiat penulisan dan penyiaran sebegitu? Bohong sangatlah jika dikatakan mereka hanya melaporkan mengikut fakta tanpa mengambilkira kepentingan dan keuntungan politik BN! Justeru, apa perlu penjuak BN kecoh jika perkara sama dilakukan parti lawan? Sebetulnya, usaha memberikan gambaran buruk terhadap apa juga yang dilakukan pembangkang, sedangkan perkara sama telah lama dilakukan BN hanya akan menambahkan rasa meluat dan mual rakyat kepada parti itu. Apakah BN mahu menggambarkan usaha menyalurkan maklumat alternatif kepada rakyat suatu kesalahan? Seolah-olahnya BN tidak pernah terlibat, sama ada merancang atau melaksanakan agenda sedemikian. Baik sangatkah BN terhadap parti-parti lawannya? Selaku parti yang sah, pembangkang juga berhak mengatur strategi memperkukuhkan kedudukan politik mereka. Apatah lagi gerak saraf menjatuhkan parti lawan sesuatu yang lumrah dalam pertarungan politik. Akuilah betapa BN sendiri sebenarnya adalah juara merencanakan gerak saraf memburuk dan menjatuhkan parti lawan. Dalam keadaan BN sendiri gagal mendemokrasikan media dikuasainya bagi memberikan ruang lebih telus dan adil kepada pembangkang, di mana rasionalnya ia menyekat kemampuan kerajaan dipimpin lawannya mewujudkan saluran maklumat sendiri? |
Jumaat, 30 Julai 2010
Salahkah RM15 juta perkukuh maklumat?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan