KOTA BARU — Pemilik syarikat Cobra Enterprise yang mengendalikan pertunjukan dan pameran ular di Muzium Kelantan di sini bukan saja menghadapi masalah kos makanan yang tinggi malah sukar untuk mendapatkan bekalan makanan itu.
Hussein Mastagir, 49, berkata beliau terpaksa menghabiskan kos RM80 setiap hari bagi membeli makanan untuk beratus ekor ular yang dipamerkan di situ.
“Masalah saya bukan saja terpaksa menghabiskan belanja yang banyak malah sukar untuk mendapatkan bekalan makanan bagi menampung ratusan ekor ular yang dipamirkan di sini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tapak pameran haiwan berdarah sejuk itu di Muzium Negeri di sini hari ini.
Menurutnya walaupun ular yang dibelanya diberi makan seminggu atau dua minggu sekali tetapi kos dikira secara harian.
Beliau berkata kebanyakan ular yang dibelanya diberi makan tikus putih secara hidup-hidup yang diimport dari luar negara kerana haiwan itu tidak memakan tikus tempatan atau bangkai tikus.
“Yang merumitkan lagi ular ini tidak memakan bangkai tikus atau haiwan lain yang telah mati. Ia lebih suka makan makanan segar dan tikus hidup,” katanya.
Menurut Hussein ular-ular yang dipeliharanya tidak akan aktif untuk dipertontonkan jika tidak diberi makan secukupnya.
Katanya pada November depan beliau akan mengadakan pertunjukan dan pameran ular di Korea Selatan dengan kerjasama sebuah syarikat di sana.
Menurutnya sebagaimana biasa beliau mengadakan pertunjukkan di negara itu dengan bantuan seorang wanita, Puteri Nur Ariyani Mohd Razan, 24, yang dikenali sebagai ratu ular berasal dari Sungai Petani dan suaminya, Saiful Abdul Aziz.
“Merekalah yang membantu saya semasa mengadakan persembahan di dalam dan luar negara,” katanya.
Lebih 30,000 pengunjung hadir menyaksikan pameran itu yang diadakan selama sebulan bermula 6 Julai lepas dan berakhir 6 Ogos ini.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Fauzi Mat berkata pihaknya menjangkakan dapat mencapai sasaran 45,000 pengunjung sehingga pameran itu berakhir dua minggu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan