TIADA seorangpun rakyat Sabah menyangka bahawa Universiti Malaysia Sabah yang diperjuangkan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Mustapha dan pemimpin selepasnya, rupa-rupanya bukan untuk rakyat Sabah; sebaliknya untuk melatih ‘kader’ politik UMNO daripada Semenanjung Malaysia.
Sebagai bapa kepada seorang pelajar yang diterima masuk ke UMS, pada mulanya saya berbangga kerana akhirnya, generasi kedua saya dapat memasuki Universiti yang dibina di atas tanah tumpah darah saya sendiri.
Namun setelah permohonan memasuki asrama UMS anak saya dan rakannya ditolak pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah dengan alasan ianya hanya dikhususkan untuk pelajar daripada Semenanjung Malaysia sahaja, maka barulah saya sedar bahawa UMNO bukan sahaja menjajah Sabah, malah mengimport kader politiknya untuk menanamkan kebencian rakyat Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan dengan mengamalkan sikap perkauman dan double standard di kampus.
Oleh itu tidak hairanlah jika Kampus UMS di Labuan tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga para pelajar Sabah seperti ‘kambing’ yang berbau hamis dan mengganggu pelajaran mereka kerana ketiadaan bekalan air bersih dan terpaksa dicatu sehingga ke hari ini.
Begitu juga dengan nasib penduduk miskin seperti anak saya yang terpaksa menumpang di rumah saudara atau terpaksa tidur di madrasah kerana belum mendapat asrama kerana pihak penginapan UMS tetap dengan keputusan mereka untuk memperuntukan asrama hanya untuk pelajar Semenanjung Malaysia dan enggan mempertimbangkan rayuan rakyat Sabah sejak hampir sebulan lalu.
Apalah ertinya dapat belajar di UMS jika terpaksa tinggal di Madrasah atau menumpang rumah saudara seperti musafir sedangkan asrama berkenaan didirikan dengan wang dan cukai yang dibayar rakyat Sabah sendiri seperti menyusukan kera di rimba.
Sebagai ibu bapa, kami kesal kerana walaupun Naib Chancellor UMS adalah rakyat Sabah namun gagal menjaga kepentingan rakyat Sabah sendiri.
Nasib kami seperti Pak Kadok, menang sorak, kampung tergadai. Sampai bilakah isu asrama ini akan berakhir?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan