Jumaat, 30 Julai 2010

Usul benar mahasiswa terlibat politik akan dibawa ke MT Umno

BERNAMA

PETALING JAYA — Anggota Majils Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah akan membawa usul membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno akan datang.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata akta itu perlu dikaji semula.

“Akta itu tidak patut menjauhkan pelajar daripada politik supaya mereka dapat terlibat sama dalam proses membuat keputusan sekali gus peranan mereka dihargai,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan 10 peserta akhir Anugerah

Usahawan Muda Kreatif “Junior Chamber International” (JCI) ke-4 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas langkah kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai Ogos ini.

“Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita beri peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian,” katanya.

Saifuddin berkata tujuan membawa usul itu ke MT Umno adalah untuk mengiktiraf hak mahasiswa yang dijamin Perlembagaan, selain memperluaskan penglibatan rakyat dalam politik, terutama generasi muda.

“Jika sebagai rakyat mereka diberikan hak untuk berpolitik kenapa sebagai mahasiswa mereka tidak boleh berbuat demikian,” katanya sambil berkata ia juga akan dapat menarik minat sebahagian remaja untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Kita ada sejumlah pengundi muda yang tidak mendaftar, ini adalah satu cara untuk meningkatkan pengundi,” katanya.

Memgenai tindakan kerajaan membenarkan pegawai pendidik menyertai politik, Saifuddin berkata ia adalah satu perkembangan politik yang sihat dan yakin golongan itu dapat menjaga imej mereka sebagai ahli akademik serta dapat membimbing ahli parti tanpa kepentingan peribadi.

“Kehadiran mereka akan menyegarkan politik dan mendorong amalan politik yang lebih bersih dan baik untuk negara,” katanya.

Peringkat akhir Anugerah Usahawan Muda Kreatif yang akan diadakan pada 7 Ogos di Pusat Konvensyen Sunway akan memilih tiga dari 10 peserta untuk bertanding di JCI World Congress yang akan diadakan di Osaka, Jepun, November ini.

Tiada ulasan: