Khamis, 24 Jun 2010

MBMMBI gagal pulih status bahasa Melayu

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mendakwa Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenal kerajaan bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah suatu dasar yang tidak seimbang.

“Secara sepintas lalu, dasar baru ini (MBMMBI) masih memihak pada bahasa Inggeris yang diperkukuhkan, manakala martabat bahasa Melayu terus berada di tahap yang terpinggir,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika berucap di Dewan Rakyat, petang semalam.

Menurut beliau, waktu belajar bahasa Melayu kekal sebanyak 70 minit seminggu sejak PPSMI diperkenalkan sehinggalah dasar baru MBMMBI dilaksanakan.

Sedangkan, menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sanggup menambahkan waktu belajar bahasa Inggeris dari 90 minit seminggu pada 330 minit seminggu di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) demi meningkatkan penguasaan pelajar terhadap bahasa antarabangsa itu ketika PPSMI mula diperkenalkan, tahun 2003 lalu.

Beliau berkata, kerajaan juga sanggup menambah waktu belajar bahasa Inggeris dari 60 minit seminggu pada 120 minit seminggu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) ketika melaksanakan PPSMI.

Katanya lagi, kerajaan sanggup berbelanja lebih RM5 bilion untuk merealisasikan dasar PPSMI, termasuk cadangan KPM untuk membawa masuk 365 tenaga pengajar pakar dari United Kingdom dan Australia untuk membimbing guru-guru bahasa Inggeris tempat mengikut zon-zon tertentu.

Tuntas dari itu, beliau meminta kerajaan bersikap adil dengan mengembalikan status bahasa Melayu seperti sebelum PPSMI diperkenalkan, sebagaimana yang dijamin oleh Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kementerian juga digesa mewajibkan semula penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangssan, termasuk di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan mewajibkan para pelajar asing yang menuntut di Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) supaya mengambil subjek Bahasa Kebangsaan B.

Tidak cukup dengan itu, beliau menggesa kementerian menambahkan waktu belajar bahasa Melayu di SJKC dan SJKT, sekurang-kurangnya setengah jam dari waktu yang sedia ada.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengaku bahawa kementeriannya telahpun membuat persiapan menyeluruh melalui MBMMBI demi memperkasa semula status bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menafikan dakwaan Salahuddin bahawa dasar MBMMBI tidak mencerminkan langkah seimbang kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu setanding dengan bahasa Inggeris di tanah air.

Tiada ulasan: