Sabtu, 13 Mac 2010

Ong Ka Ting kembali berpolitik?

BERNAMA



Apakah bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting akan kembali berpolitik?

ong ka ting mca leaders pc 050808 02Berikutan prestasi merosot parti itu pada pilihan raya umum 2008, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya.

Namun, difahamkan beberapa orang pemimpin akar umbi parti mendesak Ka Ting (kiri) kembali ke arena politik kerana mereka berpendapat beliau mampu memperkukuh dan menyatukan parti yang kini terjerumus dalam krisis.

Antara mereka ialah Adun Gurun Dr Leong Yong Kong yang pada Rabu, membuat rayuan terbuka agar bekas presiden parti itu 'keluar' dari persaraannya untuk menyelamatkan "kapal yang sedang tenggelam" atau "selamatkan parti".

Sumber-sumber parti berkata bekas pembantu rapat Ka Ting juga sedang memujuk beliau agar kembali ke arena politik, dengan memberi alasan tidak seorang pun dari kumpulan pemimpin sekarang dapat menyatukan parti yang dijadual mengadakan pemilihan baru pada 28 Mac.

Tetapi beberapa orang pemimpin bawahan berkata Ka Ting, yang tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan, akan kekal berada di luar oleh kerana abangnya yang juga bekas setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan melahirkan hasrat untuk bertanding dalam pemilihan itu.

Ka Chuan tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada pemilihan parti 2008.

Minggu lepas, krisis kepimpinan parti menyaksikan pergolakan cukup dramatik bila 22 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CC) yang dipilih meletak jawatan, termasuk Dr Chua dan semua empat naib presiden.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha membayangkan pada Khamis beliau mungkin bertanding untuk jawatan timbalan presiden parti.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan diadakan pada 22 Mac dan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dikatakan bercadang mengumumkan langkahnya untuk mempertahankan jawatan itu pada Jumaat.


Tiada ulasan: