Rabu, 17 Mac 2010

PKR kutuk KDN kekang kebebasan media

MERDEKA REVIEW



Parti Keadilan Rakyat mengutuk tindakan Kementerian Dalam Negeri sekali lagi mengekang kebebasan media kerana mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar China Press berhubung laporan Ketua Polis Negara, Musa Hassan mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Langkah Kementerian Dalam Negeri itu adalah tidak munasabah sama sekali kerana sekiranya terdapat kesilapan dari segi fakta berita, kementerian sewajarnya mengeluarkan kenyataan media untuk menerangkan perkara itu, dan bukannya meminta China Press untuk memberi penjelasan kepadanya.

Pimpinan DAP Lim Kit Siang (gambar kanan) hari ini mendedahkan wujudnya ugutan untuk menggantung China Press selama tiga hingga enam bulan jika ketua pengarang akhbar itu enggan meletak jawatan. Tindakan autokratik ini jelas bertujuan untuk memberi amaran kepada media arus perdana lain agar mematuhi segala arahan pihak pemerintah. Sementara itu akhbar Utusan Malaysia terus dibiarkan untuk memainkan isu perkauman dan agama, serta memutarbelitkan fakta dan menyerang pemimpin Pakatan Rakyat.

Maka apakah kementerian bersifat "double-standard" dalam perkara ini, di mana akhbar yang memainkan isu perkauman dan agama tidak dikenakan surat tunjuk sebab, tetapi akhbar yang sekadar melaporkan fakta dan tidak menjejaskan keamaman masyarakat dikenakan tindakan?

Taktik mengawal kebebasan media bukan satu perkara baru dalam sejarah pentadbiran Barisan Nasional. Ianya dilakukan supaya media massa tidak lagi mempersoalkan salahguna kuasa pemerintah khususnya untuk menutup kelemahan dan penyelewengan pemimpin Barisan Nasional yang korup.

Kami menyeru agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang membolehkan kawalan kerajaan terhadap media massa dihapuskan supaya media massa dapat melaporkan kebenaran dan hak rakyat untuk mendapat informasi terjamin.

*Kenyataan media oleh Tan Yee Kiew yang diedarkan semalam, selaku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Selangor.

Tiada ulasan: