Rabu, 17 Mac 2010

Anwar sindir Najib puji diri sendiri

MALAYSIA TODAY


(Harakah Daily) - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Seri Najib Razak kerana memuatkan pujian kepada diri sendiri dalam teks titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong sewaktu merasmikan sidang parlimen dua hari lalu.

“Jarang berlaku dalam ucapan titah Yang Di Pertuan Agong, perdana menteri secara peribadi memuji dirinya sendiri,” sindir Anwar tengah hari tadi sambil disambut gelak ketawa oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di dewan Rakyat.

Dalam nada yang jenaka, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menasihatkan Najib supaya memuatkan ucapan penghargaan kepada Umno BN kerana berjaya mengekalkan kuasa dalam kerajaan.

“Tanpa rasa malu Perdana Menteri memuji dirinya sendiri, selalunya diletakkan tahniah kepada kerajaan kerana menang pilihan raya, itu kebiasaannya,”

Disebabkan Speaker Dewan Datuk Donald Kiandee tidak menghalang seloroh itu, Anwar terus membaca teks titah ucapan yang dimaksudkan beliau.

“Para pemimpin hendaklah mencontohi Memanda Perdana Menteri (Najib),” kata Anwar.

Tambah Anwar lagi, sidang kali ini turut mencipta sejarah apabila Datin Seri Rosmah Mansur, iaitu isteri kepada Perdana Menteri turut dipuji secara peribadi dalam titah ucapan tersebut.

“Bukan setakat itu tuan speaker, inilah kali yang pertama dalam sejarah di mana dalam Titah Diraja, suatu pujian khusus pada insiatif yang dibuat oleh isteri perdana menteri,” sindir Anwar lagi.

“Berikutan kejayaan program Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan Permata Remaja, Ini Permata yang memang menjadi projek istimewa si isteri jelita,” kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, teguruan khusus kepada perdana menteri itu bukanlah bermakna memperkecil titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, konsep raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia bermakna kerajaan yang memerintah menyediakan titah ucapan yang kemudiannya disemak dan diperkenan oleh seorang Yang Dipertuan Agong.

Maka, kata Anwar, Najib selaku ketua kerajaan bertanggungjawab menyediakan draf ucapan titah ucapan tersebut.

Tindakan Najib itu tegasnya sekaligus boleh merosakkan imej dan tradisi raja berpelembagaan yang selama ini dilaksanakan di Parlimen.

Beliau juga menasihatkan kerajaan supaya tidak mengulangi perbuatan serupa di Dewan Rakyat yang mulia itu.

“Ini yang nak saya perbetulkan supaya pujian-pujian pada diri sendiri seperti ini tidak lagi berulang,” tegas Anwar.

Tiada ulasan: