Ringkasnya, kemelut dalaman dan luaran MCA sebenarnya saling berkaitan, begitu juga dengan puncanya. Kebergantungan kepada sumber kerajaan mengakibatkan MCA tidak berani untuk mencabar kuasa UMNO, termasuk peraturan pengagihan sumber. Pemimpin MCA bukannya tidak menyedari masalah ini, cuma tidak terdaya untuk berbuat apa-apa.
Ong Ka Ting (bekas Presiden, gambar kiri) ketika menerajui tampuk pimpinan MCA telah mengehadkan tempoh untuk menyandang jawatan dalam parti. Langkah ini bertujuan untuk memecahkan jawatan, sumber yang ada kepada unit yang lebih kecil, untuk mengatasi masalah keperluan melebihi sumber yang sedia ada.
Oleh yang demikian, Kempen Pembelajaran Sepanjang Hayat, program kebajikan, yang melimpah semasa zaman Ong Ka Ting tidak terlari daripada logik pengagihan sumber ini. Oleh kerana Ong Ka Ting hanya menumpu kepada "pengurusan sumber", dan tidak berani untuk respond kepada kuasa UMNO, maka retorik politiknya untuk menutup kelemahan diri telah ditolak oleh pengundi. Lantaran itu, jawatan MCA berkurangan, mencetus perang perebutan sumber yang berlanjutan selama 18 bulan.
Ong Tee Keat telah menemui pasaran keperluannya, iaitu mencabar UMNO. Maka beliau menggunakan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) untuk menonjolkan diri sebagai wira. Namun, cara pengagihan sumbernya terlalu lemah. Ia berakhir sebagai pemancung Chua Soi Lek dalam EGM, dan dirinya nyaris-nyaris dipancung. Kegagalan Ong Tee Keat mententeramkan parti menjurus kepada kesudahan dirinya tersungkur dalam pemilihan semula parti. Sama ada beliau mampu bertahan pada jawatan menterinya untuk memainkan peranan "menangkis serangan luar", sebenarnya terpulang kepada perancangan Chua Soi Lek selanjutnya.
Cara pentadbiran Ong Tee Keat sungguhpun tidak cukup halus, tetapi imejnya yang lantang bersuara tetap mendahului pemimpin MCA lain, sama ada persepsi di kalangan Melayu atau bukan Melayu.
Chua Soi Lek pula terbeban dengan skandal seksnya. Seandainya beliau gagal mempamerkan kemampuan yang setanding ketika pemilihan parti dalam hal pengendalian hubungan antara MCA dengan UMNO, proses pendemokrasian negara dan sebagainya, maka pesaingnya akan menuduh bahawa beliau tunduk kepada UMNO kerana DVD seksnya. Undi 39% yang diperolehinya akan menjadikannya Presiden yang tempang, dan pergelutan kuasa parti akan kembali setahun kemudian.
Sesetengah media menggelar Chua Soi Lek (gambar kiri) sebagai "come-back kid", tetapi mungkinkah MCA menjadi "come-back kid" selepas tsunami politik PRU ke-12? Ia bergantung sama ada MCA yang dipimpin Chua Soi Lek mampu menggarap imaginasi orang ramai, misalnya mengambil pendirian yang tegas dalam Model Ekonomi Baru, atau menjadi parti komponen BN pertama yang menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.
Seandainya Chua Soi Lek sekadar versi "Ling Liong Sik yang lebih bijak" dalam persepsi ramai, dan jikalau pemilihan ditundakan sehingga selepas pilihan raya umum yang lain, maka kemungkinan besar perebutan kuasa kali ini bakal menjadi pergelutan parti yang terakhir. Ini kerana tiada makna lagi untuk bertelagah di dalam MCA yang sudah terkubur dalam PRU ke-13.
*Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina oleh penganalisa politik, Wong Chin Huat. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan