Rabu, 31 Mac 2010

KEADILAN Akan Bertanding Di Hulu Selangor

Oleh Fazli Othman


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat bersetuju KEADILAN bertanding di pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor setelah rundingan bersama PAS dan DAP di pejabat Ketua Pembangkang hari ini di Parlimen.

"Mengenai calon KEADILAN yang akan bertanding, kita masih ada waktu bagi calon yang ingin memohon dan saya akan berunding dengan Tuan Guru Haji Hadi dan YB Kit Siang sebelum kita namakan calon atas Parti Keadilan Rakyat," kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar tengahari tadi.

Menyentuh jumlah calon apabila ditanya oleh media, Anwar menjawab dalam nada bergurau, "Pencalonan masih terbuka dan kita telah terima sampai 100.

"Tetapi itu proses biasa kerana kita mesti dengar dari peringkat cabang, peringkat negeri malahan daripada masyarakat tempatan dan kita juga akan rujuk kepada pimpinan PAS dan DAP kerana kita bertanding itu atas nama Pakatan Rakyat," ujar beliau lagi.

Kemungkinan calon bebas bertanding, Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail berkata memang ada desas-desus itu akan berlaku kerana Umno juga menuntut kerusi tersebut.

"Kawasan Hulu Selangor itu secara tradisi ditandingi oleh MIC dan jika tuntutan yang kuat itu tidak dipenuhi akan mendorong mereka ini untuk membuat tajaan terhadap calon tertentu bagi kerusi Bebas.

"Saya percaya jika perkara ini berlaku, ini tentunya datang dari parti tertentu di dalam BN dan tidak dalam Pakatan Rakyat kerana seperti yang diputuskan dalam konsensus di peringkat Pakatan Rakyat ialah KEADILAN diminta mengemukakan calon dan itulah keputusannya setelah dibincangkan bersama dua lagi komponen parti," kata Saifuddin.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad Khamis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Tiada ulasan: