Khamis, 18 Mac 2010

Mampat: Polis benar dialog dengan Ku Li malam ini

Jimadie Shah Othman



Badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan program dialog dan solat hajat berhubung isu tuntutan royalti minyak di Kuala Terengganu malam ini, berkata pihaknya telah mendapat lampu hijau dari pihak polis.

Pengerusi Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) Mohd Fauzi Abu Samah berkata, ia hasil pertemuan mereka dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan pagi ini.

“Saya telah berjumpa dengan ketua polis negeri pagi tadi. Beliau kata, solat hajat dan dialog OK, tetapi perarakan tidak boleh. Program kita dalam dewan, tidak perlukan permohonan permit,” katanya.

“(Program pada) malam ini, semua sepatutnya OK. Tiada sebarang masalah sama sekali,” katanya.

Mengulas program malam ini, Mohd Fauzi berkata, ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga mantan pengerusi Petronas akan menyampaikan ucaputama kepada kira-kira 1,000 peserta selama 20 minit.

Kemudian, tambah Mohd Fauzi, masa selama sejam setengah lagi diperuntukan untuk sesi soal jawab tentang isu-isu berbangkit mengenai tuntutan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu.

Sebelum itu, satu solat hajat akan diadakan di masjid berdekatan, jelas Mohd Fauzi lagi.

Tiada ulasan: