Selasa, 30 Mac 2010

Khairy Bermatian Pertahan Apco Kerana Kawan Baik Omar Mustapha Ong?

Oleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba menggaitkan beliau dengan pegawai tinggi Apco Worldwide sebagai satu usaha mengalihkan persoalan sebenar yang membabitkan keselamatan negara.

Sambil menyifatkan dakwaan Khairy sebagai sebagai tidak berasas, Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang cuba melarikan diri daripada berbincang perkara pokok berhubung Apco.

"Saya kenal Khairy, saya juga kenal Najib, saya kenal Muhyiddin, jadi isunya apa?

"Isunya sekarang Apco memainkan peranan dalam kerajaan Malaysia dan pimpinan kerajaan Malaysia. Soal saya hadir dalam persidangan dengan orang Israel sebanarnya ramai juga hadir dalam persidangan termasuk dengan tokoh ulama Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, begitu juga saya hadir dalam persidangan persatuan Hindu, Kristian dan sebagainya, itu bukan isu.

"Isunya sekarang Khairy cuba nak lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha Ong dengan syarikat Ethos yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Soal siapa kenal siapa tak penting kerana yang menjadi persoalan utamanya adalah menggunakan kepakaran Israel yang mendedahkan rahsia keselamatan dan strategi negara kepada bahaya.

"Tiada negara yang berbuat demikian melainkan anda sangat terdesak," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Khairy dan Omar Mustapha Ong dikatakan mempunyai hubungan persahabatan yang rapat.

Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang selama ini bertanggungjawab menjadi wakil 'jurucakap' mempertahankan tindakan bagi pihak Apco di Parlimen.

"Kenapa Khairy bertanggungjawab menjawab kepada pihak Apco. Ini sangat meragukan. Anda merujuk kepada soal keselamatan negara dan Perdana Menteri yang sepatutnya jawab isu ini. Khairy bukan sebahagian daripada kerajaan, dia hanya Ketua Pemuda Umno. Saya minta kerajaan beri penjelasan bukan dia, kenapa dia beriya sangat nak pertahankan Apco?," katanya.

Beliau turut menyelar dakwaan fitnah Khairy yang mengatakan ini hanyalah cubaannya untuk mengalih pandangan rakyat kepada krisis parti KEADILAN yang kini dikatakan bermasalah.

"Bukan saya yang minta dan mengarahkan untuk membuka isu ini. Saya diarah oleh Speaker. Jika saya tolak untuk jawab saya akan didakwa. Ini bukan nak alih pandangan, ini helah kerajaan nak tekan saya tapi saya bangkit dan kemukakan fakta mengenai perisikan tentera Israel dalam seluruh jentera kita disini.

Mereka ingat saya tidak ada bahan tapi mereka silap besar," katanya," tegas Ketua Pembangkang itu.

Anwar juga menggesa supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara dan mampu mengeruhkan hubungan dengan negara Islam lain.

"Pemimpin Pakatan Rakyat yang lain mencapai kata sepakat agar usul menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dan kita akan kemukakan usul itu kemudian," katanya.


Tiada ulasan: