Rabu, 31 Mac 2010

Perkasa nafi semangat 1Malaysia? - Idris Ahmad

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Kelahiran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) seperti menafikan semangat 1Malaysia apabila NGO itu yang disifatkan oleh ramai orang sebagai pengganti Umno itu berterusan membawa tema perkauman Melayu yang sempit.

Ketua Penerangan Pas Idris Ahmad berkata, penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka ke atas kumpulan Perkasa itu adalah bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1Malaysia tajaan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.

"1Malaysia cuma gimik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada BN, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai Perkasa yang menghina kaum-kaum lain atas nama Melayu.

"Sebelum ini, kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakkan perkauman. Tapi, bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara," kata beliau.

Dalam hal ini, tambahnya, jelas membuktikan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi mewujudkan pertubuhan.

Perkasa mudah dapat permit akhbar, kerajaan berat sebelah


Malah, kata Idris, Perkasa dapat keistimewaan khas untuk terbitkan akhbar sendiri walhal Harakah dan Suara Keadilan sukar mendapat permit.

"Pas tidak menafikan hak Perkasa berpersatuan, tapi kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1Malaysia.

"Pengakuan Ketua Pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri adalah parti perkauman yang ekstrim dan melampau," tambah beliau lagi.

Katanya, kehadiran Mukhriz dan Awang Adek di dalam mesyuarat agung tahunan Perkasa mutakhir ini adalah contoh bahawa pemimpin Umno tidak ikhlas dalam gagasan 1Malaysia, lalu Perkasa mula menyemarakkan kebencian kepada kaum-kaum lain.

"Rakyat makin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang dilihat gagal memberi kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1Malaysia.

Najib ditentang dalam diam?


"Mungkinkah wujud penentangan ke atas Najib dan gagasannya itu hingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa?" soal Idris lagi.

Tambahnya, gagasan 1Malaysia tidak perlu jika pertubuhan atau parti perkauman tidak wujud.

"Ini kerana, mereka yang sering menyemarakkan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum di negara ini," tamabah Idris lagi.

Tiada ulasan: