Krisis kepimpinan MCA kini sudah sampai ke tahap kritikal dan tidak boleh diselamatkan lagi walaupun beberapa pemimpin veteran MCA, termasuk bekas Presiden Tan Srii Ong Ka Ting dan bekas Timbalan parti itu Datuk Donald Lim Siang Chai dilaporkan akan kembali semula bagi merebut jawatan tertinggi dalam parti itu.
Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia Profesor Madya Dr Abu Hassan Abdullah berkata, strategi itu sama sekali tidak akan mampu memulihkan imej MCA mahupun mengembalikan semula keyakinan pengundi Cina selepas mengalami kekalahan teruk semasa pilihan raya umum pada Mac 2008.
Malah, kemasukan semula pemimpin veteran tersebut dijangka hanya akan menambahkan lagi perpecahan dan kronisme akibat kemunculan beberapa kumpulan penyokong baru yang berbeza.
"Walaupun kemasukan veteran MCA dijangka dapat membawa harapan untuk menyatukan pimpinan MCA, saya rasa jika gelas yang sudah pecah itu dicantum semula dengan gam sekali pun, kesan keretakan itu tetap jelas kelihatan, malah mungkin hancur lebih teruk jika gelas itu gagal dicantum dengan baik," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Dr Abu Hassan berkata, MCA kini sudah tiada jalan lain melainkan mengambil pendekatan membentuk pelapis baru bagi menerajui parti itu melalui 'proses kelahiran semula'.
"Bagi meredakan ketegangan kronisme, langkah terbaik yang diperlukan adalah MCA perlu menghapuskan generasi lama dan lantik generasi baru dalam pimpinan tertinggi parti itu.
"Walaupun proses ini akan mengambil masa, namun ini adalah langkah paling wajar. Mereka perlu akui hakikat bahawa MCA sudah melalui krisis berpanjangan dan tidak mampu diubati lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan