Jumaat, 11 Disember 2009

Skandal PKFZ: Ramai diheret


Oleh Saufi Hamzah dan Rafidah Mat Ruzki



STEPHEN Abok dan Tan (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan jumlah wang RM5.417 juta.


Tuntutan palsu RM5.417j; Pecah amanah RM254.8j;

PUTRAJAYA: Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) belum ditutup dan ramai lagi individu akan didakwa, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap tiga orang semalam, termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Phang Oi Choo, bukan penghujung kepada skandal berkenaan tetapi ia cuma satu permulaan.

Phang, 63, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tiga tuduhan pecah amanah berjumlah RM254.8 juta berhubung projek PKFZ. Turut didakwa di mahkamah sama, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok, 51, dan seorang arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, berhubung dua tuduhan membuat tuntutan palsu RM5.417 juta.

Tan juga didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, membuat 24 lagi tuntutan palsu bernilai RM116.85 juta. Ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah.

Pada sidang media di pejabatnya di sini, Abdul Gani berkata, seorang jurutera anak syarikat Kuala Dimensi, Law Jenn Dong, pula akan didakwa Isnin ini di mahkamah sama.

PHANG dibenar ikan jamin RM350,000 dengan seorang penjamin.

Ditanya kemungkinan individu lain seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Datuk Seri Tiong King Sing dan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy, akan turut didakwa, beliau berkata:

"Siasatan sedang dijalankan terhadap individu lain. Saya tidak boleh berikan butiran kerana siasatan sedang dijalankan. Lagipun banyak aspek siasatan dijalankan seperti jenayah komersial, penyelewengan, wang haram dan salah guna kuasa."

Beliau berkata, sesiapa saja, termasuk ahli politik, ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan orang awam yang disyaki terbabit dalam skandal itu, akan didakwa.

"Saya memutuskan untuk mendakwa tiga individu itu hari ini (semalam) kerana saya tidak dapat menunggu pihak berkuasa menamatkan penyiasatan mereka kerana ia akan mengambil masa yang lama.

"Pendakwaan ke atas individu lain akan dilakukan secara berperingkat. Ikan besar atau ikan kecil, semuanya dikira sebagai ikan besar. Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala peranan dan tindakan mereka," katanya.

Abdul Gani berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah empat bulan menyiasat skandal itu.

"Banyak isu yang terbabit sama ada perundangan atau fakta... ia bukan hanya kompleks tapi memerlukan jumlah masa yang banyak untuk mengumpulkan bukti," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, siasatan turut mengambil kira aspek bagaimana PKFZ ditubuhkan, cara pengendalian perniagaan itu serta perjanjian yang dimeterai termasuk jual beli tanah.

Ditanya mengapa Law tidak didakwa semalam, Abdul Gani berkata, tertuduh tidak dapat dihubungi tetapi dia akan menyerah diri dan didakwa, Isnin ini.

Di KLANG, Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali membenarkan Phang diikat jamin sebanyak RM350,000 dengan seorang penjamin. Suami tertuduh, Datuk Lim Twee Yong, membayar jaminan itu.

Mahkamah turut menetapkan 12 Januari ini sebagai sebutan untuk penyerahan pasport antarabangsa tertuduh.

Phang yang memakai baju biru muda, didakwa mengikut Sekyen 409 Kanun Keseksaan atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap dana dalam akaun perbelanjaan di RHB Bank Berhad, Plaza OSK, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Oktober 2004 hingga 9 Mei 2006 di premis LPK di Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Terdahulu, Ketua Unit Pelucuthakkan Harta dan Pengubahan Wang Haram, Datuk Dzulkifli Ahmad, menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta kepada Phang dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ng Aik Guan, membantah dengan alasan jumlah jaminan itu bersifat menghukum tertuduh sebelum perbicaraan dijalankan.

Ng berkata, anak guamnya juga sepatutnya ke Amerika Syarikat pada 14 Disember ini hingga 9 Januari depan.

Sementara itu, Stephen dan Tan didakwa mengikut Seksyen 420 kanun sama atas tuduhan membuat tuntutan palsu dengan memperdaya LPK untuk mempercayai kerja pemasangan infrastruktur elektrik bagi sistem 33kv ke Precint 2 dan 8 projek PKFZ di Pulau Indah sudah dilaksanakan sehingga mendorong LPK mengesahkan pembayaran kepada Kuala Dimensi.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Julai dan 28 September 2007.

Tan yang menghadapi 24 tuduhan lain bersama seorang lagi individu, melakukan kesalahan sama antara 30 Jun 2006 hingga 30 Mei 2008.

Yong Zarida membenarkan Stephen diikat jamin RM200,000 manakala Tan sebanyak RM250,000. Mahkamah juga menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Hashley Tajudin manakala Stephen diwakili Tan Hock Chuan dan Tan oleh George Vanghese.

Tiada ulasan: