Polis mahu pastikan suspek kena hukuman lebih berat: Musa
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis memberi keutamaan membuka kertas siasatan kes ragut mengikut klasifikasi samun atau rompak.
Katanya, tindakan itu dibuat bagi memastikan suspek kes itu dikenakan hukuman lebih berat.
"Kita beri keutamaan menyiasat kes ragut mengikut kesalahan rompak atau samun kerana polis mahu buktikan betapa seriusnya pasukan ini dalam mengenakan tindakan terhadap peragut.
"Bagaimanapun, dalam membuat pendakwaan kita perlu juga melihat inti pati kes. Jika inti patinya tidak mencukupi bagi mendakwa atas kesalahan merompak, maka pendakwaan perlu dibuat atas kesalahan mencuri. Perkara ini ditentukan Pejabat Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas pelbagai cadangan termasuk Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) supaya peragut didakwa atas kesalahan merompak seperti terkandung dalam Kanun Keseksaan, bukannya atas kesalahan mencuri bagi memastikan penjenayah kes itu dikenakan hukuman berat.
Kesalahan mencuri hanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, manakala kesalahan merompak tempoh hukuman penjaranya sekali ganda lebih tinggi berserta sebatan.
Isu ragut kembali hangat diperkatakan apabila seorang lelaki, Abdul Rahman Kalidin, 34, meninggal dunia, manakala isterinya, Noriha Abdul Rahman, 29, parah selepas motosikal mereka kemalangan angkara peragut di Taman Maluri, Cheras, dekat sini, Isnin lalu.
Musa berkata, beliau peka terhadap pelbagai cadangan awam dalam mengenakan tindakan terhadap peragut, namun menegaskan setiap pendakwaan perlu mengikut keadaan undang-undang dan bukannya dilakukan sewenang-wenangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan