Selasa, 1 Disember 2009

Murugiah diberi tempoh 14 hari letak jawatan

SINAR HARIAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Parti Progresif Penduduk (PPP) memberi tempoh 14 hari kepada bekas anggota parti itu, Senator Datuk T Murugiah supaya meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengikut Akta Perlembagaan parti sekiranya tidak mahu digelar Timbalan Menteri yang tidak sah.

Presiden PPP, Datuk M Kayveas berkata, Murugiah diberi tempoh 14 hari meletakkan jawatan itu berkuat kuasa semalam, sekiranya tidak mahu digelar ‘Timbalan Menteri Haram’.

Beliau berkata, mengikut Perlembagaan PPP (Artikel 6.10), seseorang yang dipecat daripada parti dan apabila mempunyai jawatan dalam kerajaan, Parlimen atau Kabinet perlu meletakkan jawatan.

“Kita akan keluarkan notis ini dan sehingga tempoh 14 hari, jika beliau masih tidak meletakkan jawatan kita akan serahkannya kepada Perdana Menteri terhadap status jawatannya,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Negeri dan Kebangsaan di sini, semalam.

Kayveas berkata, Murugiah tidak terlibat sama sekali dalam parti itu lagi dan tidak boleh bersuara atau mengeluarkan pendapatnya mengenai PPP selepas dipecat pada 16 Mei lalu, selain tidak mempunyai kuasa memberi tempoh kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menjawab surat rayuannya berhubung kesahihan pemecatannya dalam PPP.

“Tempoh 14 hari diberikan sebelum ini untuk beliau mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya, tetapi beliau tidak buat langsung dan kini meminta ROS menjawab surat rayuannya setelah tamat tempoh.

“Tiada mana-mana kuasa yang boleh mengarahkan ROS atau meminta ROS membuat keputusan berdasarkan desakan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada Murugiah untuk tidak mengganggu atau mencampuri sebarang urusan PPP atau cubaan menghasut terhadap mana-mana ahli parti itu dan menasihatkannya bertemu mereka yang berpengalaman dalam mendapatkan nasihat bagaimana mahu mengambil hati parti itu semula sekiranya ingin kembali bersama PPP.

“Kita tidak mahu cakap mengenainya lagi. Sudah banyak peluang beliau bersuara sebelum ini dan kita tidak mahu merumitkan keadaan,” katanya.

Kayveas turut mengumumkan untuk memperbaharui logo parti itu dan reka cipta logo itu terbuka kepada umum (rakyat Malaysia).

Menurutnya, logo terbaru itu dihadkan kepada dua warna iaitu merah dan biru berbanding tujuh warna sebelum ini dan hadiah wang tunai RM5,000 akan diperuntukkan bagi tempat pertama; RM3,000 bagi tempat kedua; RM1,000 bagi tempat ketiga dan tiga sagu hati bernilai RM500.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) PPP dengan menempatkan 12 Ahli Jawatankuasa (AJK) setiap DUN.

“Sebelum ini kita ada Cawangan dan Bahagian Exco dan kita akan wujudkan pula DUN yang mana masing-masing bertanggungjawab dalam mengenal pasti golongan miskin, golongan yang bermasalah, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal dan kemudiannya membawa kepada saluran yang betul seperti menyerahkannya kepada Badan Kebajikan atau Kerajaan Negeri dan Pusat,” katanya.:

Beliau berkata, imej PPP juga akan ditukar agar dilihat sebagai parti Malaysia dan bukannya parti bagi kaum India.

“PPP terbuka kepada semua kaum. Kebanyakan kaum Cina tidak tahu dan menganggap ia parti kaum India. Kita akan memperluaskan PPP dan beri peluang kepada golongan muda menyertai parti ini,” katanya.

Tiada ulasan: