Selasa, 1 Disember 2009

MCA perlu masa adakan pemilihan semula parti

BERITA HARIAN ONLINE


DATUK Seri Najib Razak berkata, MCA memerlukan masa untuk mengadakan pemilihan semula parti dan beliau akan berjumpa tiga kumpulan bertelagah jika masalah dihadapi sekarang tidak dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berharap timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan beberapa pertemuan dengan kumpulan terbabit dapat menyelesaikan masalah parti itu MCA sebelum beliau mendarat di Subang, hari ini.

“Persoalan sekarang bilakah pemilihan parti akan diadakan. Inilah perkara akhir yang perlu dibincangkan.

"Saya percaya dalam mesyuarat itu, beliau (Tan Sri Muhyiddin) cuba mendapat persetujuan bahawa perlu ada pemilihan parti yang dipersetujui semua pihak terbabit," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pemimpin kumpulan bertelagah mula mengadakan perjumpaan dengan Muhyiddin minggu lalu dan terakhir malam kelmarin, bagi mencari penyelesaian kepada pertelagahan mereka.

Perjumpaan tiga jam di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara malam kelmarin, berakhir jam 11.30 malam.

Antara yang menghadiri perjumpaan itu Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Setiausaha Agung Datuk Wong Foon Meng; dan keempat-empat naib presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, dan Tan Kok Hong.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat sakit perut.

Taklimat khas perwakilan yang dianjurkan kumpulan Liow, Sabtu mengusulkan Deklarasi 1128, mahu pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ong menolak Deklarasi 1128 dan menyifatkannya tuntutan kumpulan berkenaan yang mahu pemilihan semula parti diadakan segera sedangkan jika ia (pemilihan semula) mahu diadakan, ia perlu mengikut perlembagaan parti dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pusat (CC).

Mesyuarat Sabtu lalu turut bersetuju untuk meminda Artikel 46 perlembagaan parti berhubung pelantikan anggota Majlis Presiden (PC) dengan memasukkan pelantikan automatik semua Naib Presiden, Menteri dan Timbalan Menteri ke dalam majlis itu berbanding amalan sekarang apabila pelantikan itu adalah hak mutlak Presiden parti.

Tiada ulasan: