Isnin, 7 Disember 2009

Mati ketika menunggu menteri

BERITA HARIAN ONLINE


PEKAN: Seorang pemandu pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang meninggal dunia selepas dipercayai diserang sakit jantung ketika majlis istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Zainal Abidin Talib, 50, dari Sungai Isap, Kuantan yang ditugaskan membawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berada di dalam kereta Proton Perdana V6 milik SUK.

Beliau berkata, ketika menunggu menteri terbabit yang dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, Zainal Abidin tiba-tiba mengalami sesak nafas.

"Dia yang berada dalam kenderaan berkenaan bersama pegawai pengiring Peter kemudian memakan sejenis ubat, namun mengalami kekejangan dan kesejukan selepas itu.

"Berikutan keadaannya, pegawai pengiring terbabit kemudian meminta bantuan paramedik yang bertugas pada majlis istiadat itu sebelum mangsa dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pekan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Yahaya berkata, bagaimanapun Zainal Abidin disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit.

"Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya

Sementara itu pegawai pengiring berkenaan yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian beliau sedang berbual-bual dengan Zainal Abidin sebelum mangsa mengadu sesak nafas.

Katanya, beliau menasihati Zainal Abidin untuk berehat selepas mengambil ubat namun keadaan menjadi serius selepas pemandu itu mengalami kekejangan sehingga memaksanya mendapatkan bantuan paramedik.

Tiada ulasan: