Oleh Md Fuzi Abd Lateh
RAWANG: Tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang memutuskan pemecatannya oleh Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai sah adalah petanda baik menegakkan kebenaran sebenar.
Beliau yang dipecat parti itu pada Mei lalu, berkata keputusan mahkamah itu perlu diterima semua pihak bagi membetulkan keadaan dan segala pembohongan yang dilemparkan Presiden parti itu, Datuk M Kayveas perlu dibongkar segera.
“Ini sejarah pertama negara kita menyaksikan tindakan saman terhadap ROS berhubungan kemelut melanda parti ini yang belum selesai. Hakim memutuskan wujud alasan untuk mendengar perkara itu di sebalik ketetapan Seksyen 18 (c) Akta Pertubuhan 1966 bahawa keputusan sebuah parti politik berkaitan hal ehwalnya adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
“Saya perlu mendapat pembelaan sewajarnya selepas dikenakan tindakan tidak berasas itu. Biarlah mahkamah menentukan segala keputusan yang bijak untuk masa depan politik dan parti kami ini,” katanya kepada Berita Harian selepas merasmikan majlis penutup Karnival Sukan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Gombak, di sini, semalam.
Murugiah berkata, Jumaat lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin membuat keputusan itu di dalam kamar juga memberikan kebenaran kepadanya untuk mencabar keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang memilih beliau sebagai Presiden PPP sebagai tidak sah.
Katanya, hakim mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujahan peguam Francis Pereira, yang mewakilinya dan Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Mohd Tajuddin, yang mewakili ROS.
Sementara itu, beliau juga tetap mengemukakan saman malu RM10 juta terhadap Kayveas yang difailkan baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan