Isnin, 7 Disember 2009

Berita letak jawatan, kosong pejabat lucu: Ong

BERITA HARIAN ONLINE


KULIM: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, membidas media cetak kerana spekulasi kononnya beliau sudah melepaskan jawatan yang dipegang di dalam parti dan kerajaan, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan itu turut menyifatkan penyiaran berita yang mendakwanya sudah mengosongkan pejabat sebagai sesuatu yang lucu.

“Mungkin itu cara (spekulasi dan mengada-adakan cerita) (supaya) saya boleh keluar dari kemelut yang berlaku. Namun, etika dan profesionalisme perlu ada sebagai wartawan,” katanya.

Ong berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Cheng di sini, semalam.

Presiden MCA itu diminta mengulas laporan beberapa akhbar berbahasa Cina bahawa beliau akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran krisis dalaman parti.

Mengenai laporan media yang kononnya ada samseng yang cuba mengganggu mesyuarat agung tahunan MCA yang dijadualkan pada Jumaat dan Sabtu lalu sehingga menyebabkan mesyuarat itu ditangguhkan, Ong bagaimanapun enggan mengulas.

Semalam, sebuah akhbar memetik pemimpin parti itu mendakwa mesyuarat agung tahunan MCA terpaksa ditangguhkan berikutan ancaman daripada samseng yang mengugut akan membuat kacau.

Ditanya adakah beliau akan berjumpa Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat, Ong menjelaskan beliau akan mengiringi Perdana Menteri melawat Thailand selama tiga hari mulai hari ini (Isnin).

“Apa yang akan dibincangkan, saya tidak mahu komen,” katanya.

Tiada ulasan: